KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2025 – Kumpulan nasyid Intracksee dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya meraih gelaran Naib Juara dalam Pertandingan Nasyid Malaysiaku Bersama Gaza, Sumud Nusantara yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Pertandingan anjuran Munsyid Malaysia itu menyaksikan 12 kumpulan nasyid dari seluruh negara yang bertanding.

Intracksee yang dianggotai oleh lima orang mahasiswa USIM tampil dengan persembahan penuh penghayatan menerusi lagu “Seperti Inikah Dunia”, ciptaan khas yang menyentuh tentang nasib seorang anak kecil yang lahir ke dunia tanpa sempat merasai kasih sayang ibu bapa, sebaliknya berdepan realiti peperangan dan kehancuran.

Membawakan lagu “Seperti Inikah Dunia” yang menyampaikan mesej keamanan dan rintihan mangsa kejadian.

Menurut Muhammad Mifzal Muhammad Faruq, ketua kumpulan Intracksee, persiapan intensif selama tiga hari sebelum pertandingan menjadi bukti kesungguhan kumpulan mereka.

“Sudah pasti saya memanjatkan kesyukuran apabila dinobatkan sebagai Naib Juara. Rasa gembira dan bangga kerana usaha kami akhirnya membuahkan hasil. Ia juga menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha lebih baik pada masa akan datang,” katanya. Kejayaan ini melayakkan Intracksee membawa pulang wang tunai RM3,000 serta trofi penghargaan.

Mifzal membawakan lagu dengan penuh semangat dan penghayatan untuk menyampaikan mesej keamanan.

Pertandingan ini diadili oleh artis nasyid yang tidak asing lagi, Hazami anggota kumpulan Inteam, Daqmie dan komposer lagu berunsur kerohanian Ito Lara. Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr. Ahmad Sani Araby Abdul Alim.

Dalam pada itu, Intracksee berharap kejayaan ini menjadi pemangkin untuk mereka terus melangkah lebih jauh dengan keyakinan dan semangat yang lebih kuat, selain menjadikan muzik nasyid sebagai medium dakwah dan suara solidariti kemanusiaan. Pertandingan ini diadakan bersempena dengan Peluncuran Ensiklopedia Gaza 101: Kompilasi Eksklusif Pelaporan Projek Kemanusiaan MAPIM yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, sempena Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza serta Karnival Sumud Nusantara 2025 di ibu negara.

Kumpulan Lasykar Khaleefa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dinobatkan sebagai johan manakala kumpulan Cg Malaya Universiti Malaya mendapat ketiga.  

 

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan