NILAI, 26 Disember – Menghayati keindahan seni mestilah mengikut syariat Islam. Oleh itu, kepentingan untuk membudayakan atau mengamalkan seni yang indah dan bermanfaat perlu ditekankan dalam aspek kehidupan masyarakat. Usaha membudayakan seni dan keindahan memerlukan falsafah seni dan panduan yang selari dengan Islam. Selari dengan peranan USIM sebagai sebuah pusat pengembangan dan rujukan ilmu, USIM kini melancarkan sebuah buku panduan dan rujukan khususnya kepada individu dan organisasi yang menumpukan penganjuran program seni budaya. Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya USIM ini ini disediakan untuk memberi panduan dan rujukan kepada pelajar, staf USIM dan pihak yang berkaitan dalam penganjuran persembahan seni budaya di dalam USIM supaya persembahan seni selari dengan ad-din Islam serta menepati hukum hakam syariah dari segi pelaksanaannya. Kandungan garis panduan ini juga menumpukan kepada tiga bidang persembahan seni sebagai fokus utama iaitu Penerbitan Seni, Seni Persembahan dan Seni Visual.
Penerbitan ini dihasilkan bertujuan memberi informasi tepat kepada penganjur, badan-badan pelajar, staf USIM dan pihak yang berkaitan dalam penganjuran persembahan seni budaya di dalam USIM dalam pelaksanaan program dan penerbitan seni.
Timbalan Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Pelajar) Senator Dr. Zukifli Hasan dalam ucapannya menekankan bahawa penghasilan garis panduan menjadi unsur penting dalam pengembangan ilmu kehidupan insan sejagat. Mendokumentasikan prosedur, perkongsian kepakaran, pengalaman dan pandangan yang bernas merupakan usaha jitu yang seharusnya diperluaskan untuk memandu masyarakat menghasilkan karya yang patuh syariah dan berkualiti. Menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan setiap aktiviti termasuk berkarnival, beriadah, berhibur dan seumpamanya sentiasa berada di dalam ruang lingkup beribadah kepada Allah SWT.
Beliau menambah ”Saya percaya dan yakin garis panduan ini disediakan adalah untuk memberi panduan kepada para peserta dan penganjur agar program yang akan dirancang tidak menyalahi Syara’ dan tersasar dari tujuan sebenar sebagai insan. Islam adalah satu cara hidup yang sangat meraikan dan tidak pernah sesekali menyekat naluri fitrah manusia termasuklah berhibur, beriadah dan sebagainya. Garis panduan ini juga tidak menyekat kebebasan khususnya para pelajar untuk menceburi bidang seni budaya dan besar harapan saya dengan adanya prosedur ini akan memberi manfaat khususnya kepada para mahasiswa USIM dalam membentuk sahsiah yang baik dan memperkasakan jati diri dan mencintai seni warisan bangsa”.
Selain itu Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, penerbitan buku ini selari dengan peranan USIM sebagai sebuah pusat pengajian yang menghimpunkan maklumat penting untuk masyarakat. Langkah proaktif bagi melengkapkan pelaksanaan program berimpak tinggi juga pada masa yang sama meningkatkan keterlihatan USIM kepada masyarakat terutama dalam bidang seni budaya.
Lebih menarik dan menampilkan kelainan, garis panduan ini juga memuatkan kod QR di setiap halaman terakhir tajuk penulisan untuk diimbas oleh pembaca yang ingin menyaksikan paparan motion grafik berkaitan topik Penerbitan Visual, Seni Persembahan dan Seni Visual. Visual animasi yang disediakan untuk memudahkan para pembaca membuat rujukan secara pantas melalui peranti telefon pintar dan tablet bersesuaian dengan keperluan semasa.
Penghasilan buku digarap oleh buah fikir budayawan, cendekiawan dan penggiat seni budaya tanah air yang berpengalaman serta rujukan beberapa garis panduan yang sedia ada daripada badan-badan berautoriti dan ditambahbaik mengikut pedaran semasa. Panel penyedia yang dilantik terdiri daripada Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusof pakar bidang Tafsir Al-Quran dan Penasihat Penerbitan, Ismail Ahmed Ketua Panel dan Penulis (Pakar Bidang Budaya), Prof. Dr. Irwan Mohd Subri (Pakar Bidang Fiqh dan Penasihat Syariah), Pensyarah dan merangkap penasihat produk Seni USIM). Karyawan-karyawan Seni USIM,Syed Indera Syed Omar (Pakar Bidang Seni Budaya: Seni Persembahan) Muhammad Razin Che Mud (Pakar Bidang Seni Budaya : Kandungan Media Digital) Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman USIM, (Pakar Bidang Seni Budaya: Taranum), Mohd Huzaimi Mohd Zaini Tenaga Pengajar Seni Budaya USIM (Pakar Bidang Seni Budaya : Kandungan Program dan Persembahan Seni). Turut melibatkan enam orang penulis terdiri daripada kakitangan Pusat Kebudayaan USIM serta penghasilan animasi oleh Muhammad Zarihi Nubhan Abdul Rahman yang juga alumni USIM.
Pelancaran turut diserikan dengan persembahan puisi dan nyanyian lagi tradisional oleh Kelab Seni Budaya USIM. Turut hadir dalam majlis pelancaran buku ini adalah pengurusan universiti, penggiat dan karyawan seni tanah air Mohd Yazid Zakaria daripada Istana Budaya serta wakil Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Pusat Kebudayaan USIM
Universiti Sains Islam Malaysia