Oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM

14 Ogos, Nilai: Hampir dua tahun hidup rakyat Malaysia mengalami perubahan besar dalam rutin mereka. Perubahan ini dianggap seperti luar biasa dan seakan meragut keselesaan hidup rakyat seluruh dunia. Pelbagai sudut dilihat sama ada kesan positif dan negatif serta tidak kurang hikmah yang membawa kepada penyelesaian masalah. Kesan pandemik seolah-olah mengubah 360’ pusingan kehidupan manusia. Menurut takrifan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kesihatan mental adalah situasi di mana seorang individu menyedari potensinya boleh berdaya tindak terhadap stres kehidupan, boleh bekerja dengan produktif dan boleh menyumbang kepada masyarakat. Sebahagian daripada kita mungkin dalam golongan yang masih boleh mengawal masalah dan stres yang dialami. Tidak kurang juga kalangan masyarakat kita mengalami masalah-masalah kesihatan yang akhirnya membawa kesan buruk dalam kehidupan mereka.

Menurut Pegawai Psikologi Kaunseling, Hospital Selayang Nurul Hidayah Mat Sarip “antara kes yang dikenal pasti meningkat di musim pandemik adalah kemurungan atau lebih dikenali sebagai depresi. Depresi adalah penyakit psikologi yang disebabkan oleh tekanan perasaan serius yang boleh berlaku kepada orang dewasa, remaja atau kanak-kanak. Kes ini dilihat oleh pakar psikiatri yang akan mendiagnosis pesakit samada mengalami penyakit depresi atau major depression disorder setelah rawatan dijalankan. Simptom kemurungan atau depresi yang boleh dikenalpasti adalah seperti seseorang itu mengalami perasaan yang sangat sedih, kecewa, tiada harapan dan buntu yang akhirnya menginginkan kematian sebagai jalan keluar kepada penyelesaian masalah.”

Beliau juga menambah bahawa ada kalangan pesakit yang mengalami tekanan di peringkat awal dapat dibantu melalui bimbingan pemilihan gaya daya tindak yang bersesuaian dengan dirinya seperti teknik kawalan terhadap isu yang dialami. Terdapat antara kes yang dikendalikan bahawa mereka tidak dapat meluahkan apa yang terbuku dalam fikiran, namun selepas beberapa sesi bersama kaunselor mereka menunjukkan perubahan positif dan berfungsi semula dalam kehidupan.

Siri ke-5 Borak Rakyat turut mengundang selebiriti Fynn Jamal berkongsi mengenai penyakit yang dihidapi oleh beliau sendiri dan suaminya. Fynn menyifatkan bahawa dugaan besar menimpa apabila suaminya dikesan mengalami penyakit skizofrenia. Fynn tidak menyalahkan takdir akan nasib yang menimpanya, malah merasa lebih bersyukur kerana dugaan yang mendatang menjadikannya lebih kuat dan matang dalam mengurus kehidupan keluarganya. “Dalam menghadapi situasi getir begini kita perlu merujuk kepada yang pakar. Sebagai orang yang menjaga atau ‘caretaker’ saya perlu banyak membaca dan mendapatkan sumber yang betul supaya kita tahu bagaimana cara untuk mengurus pesakit ini. Kita harus mendapat maklumat yang betul dan sedar bahawa penyakit ini perlukan perhatian dan kena melalui beberapa fasa rawatan untuk melihat perkembangan pesakit”. Beliau juga memberitahu bahawa pada masa yang sama menjaga anaknya yang mengalami autism sejak lahir. Bagi Fynn tanggungjawab dan fokusnya kini tertumpu kepada keluarganya di samping aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan bersama NGO dan menguruskan perniagaannya.

Sementara itu, Nurul Hidayah menyambung bicaranya, “banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat tekanan. Simptom seperti sedih melampau akibat berita kematian orang tersayang, mengalami insomnia atau masalah gangguan tidur boleh mendorong kepada kepada kemurungan jika tidak dikawal dan ianya boleh mendatangkan kesan yang lebih buruk. Beberapa perubahan tingkahlaku dalam kehidupan boleh berlaku seperti duduk bersendirian, berubah sikap daripada seorang yang ceria kepada pendiam dan sebagainya. Perubahan tingkah laku ini perlu dikenalpasti terutama oleh individu yang paling dekat dengan pesakit tersebut. Kita perlu membantu mereka dengan membawa mereka keluar daripada ‘dunia’ mereka”.

Fynn juga menggesa masyarakat agar tidak memandang rendah kepada pesakit yang mengalami sakit mental. Stigma ini perlu diubah agar wujud kesedaran untuk membantu mereka yang mengalami masalah ini. “Peringkat yang dialami oleh setiap pesakit juga berbeza dan adalah tidak wajar untuk meletakkan tanggapan bahawa pesakit tersebut tidak boleh dirawat selamanya”.

Berbicara dengan lebih lanjut, Nurul Hidayah berharap masyarakat kerap merujuk maklumat yang sahih khususnya daripada KKM supaya info yang diperolehi lebih tepat termasuk juga dengan pengambilan ubat-ubatan atau makanan tambahan yang boleh menyumbang kepada reaksi fizikal, perubahan hormon dan sistem badan. Sebaiknya merujuk ahli farmasi atau doktor terlebih dahulu untuk mengetahui lebih terperinci tentang kandungan atau bahan yang digunakan dalam ubat supaya kesan positif ubat dapat dirasai secara maksimum. Ini adalah kerana pengambilan ubat-ubatan berbeza mengikut tahap kesihatan setiap pesakit.

Beliau berkata setiap insan berhak melalui kehidupan yang baik dan seimbang dan menyarankan kepada masyarakat agar mengamalkan tiga tip yang sesuai dilakukan sekiranya berada dalam situasi ini. Berusaha menjadi pendengar yang baik agar mereka tidak merasa keseorangan, sentiasa memberi dorongan terhadap individu yang memerlukan perhatian dan bantuan, dan yang ketiga sentiasa memohon doa kepada Allah SWT sebagaimana yang disyariat dalam Islam bagi individu Muslim. Terus memberi sokongan moral kepada mereka dan salurkan info mengenai mereka kepada pihak yang berautoriti agar ianya lebih terjamin dan selamat.

Borak Rakyat siri-5 yang memfokuskan isu Kesihatan Mental: Apa Solusi disiarkan secara langsung di facebook dan saluran youtube rasmi Pusat Kebudayaan USIM bertujuan membicarakan isu kesihatan mental yang berlegar di kalangan masyarakat semasa musim pandemik. Kedua panel menasihatkan agar kempen mencegah lebih baik dari mengubati juga begitu relevan pada masa kini.