Oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan

Usaha memberi pemahaman mendalam terhadap warisan seni melayu dan falsafah yang terkandung di dalam pembuatan dan pemakaian busana Melayu dilihat semakin meningkat. Perkara ini dilihat serius oleh Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan menganjurkan Organization Enhancement Program O-Pro 12: Ikatan Samping dan Tengkolok yang berlangsung baru-baru ni di Panggung Budaya USIM. O-Pro Ikatan Samping dan Tengkolok ini dikendalikan oleh fasilitator daripada Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan dan telah dihadiri seramai 40 peserta terdiri daripada pelajar, kakitangan USIM dan orang awam.

Menurut Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM program ini diadakan bertujuan untuk memberi skil kepada mahasiswa dan orang luar yang berminat untuk mempelajari pembuatan tengkolok yang semakin popular kini. Melalui penghasilan tengkolok ini saya percaya kita akan dapat melahirkan lebih usahawan seni kerana perhiasan ini mempunyai kelompok peminatnya tersendiri dan mampu menembusi pasaran.”.

Peserta program diajar mengenai cara lipatan tengkolok yang daripada tiga asas utama iaitu tapak, simpul dan solekan atau dipanggil karangan. Menurut Mohamad Razali Rapie, “Tanjak, destar, tengkolok atau apa sahaja panggilan disebut mengikut kesesuaian tempat dan kelompok masyarakat. Keperluan kain untuk tanjak atau tengkolok berukuran ganjil iaitu 33 dan 35 inchi berbentuk empat segi. Jika dahulu perhiasan kepala seperti tengkolok hanya dipakai oleh golongan istana, para pembesar dan pengantin lelaki, namun kini semakin mendapat tempat kalangan rakyat atau bukan golongan diraja.”

Mohamad Razali Rapie menerangkan kepada peserta tentang asas-asas tengkolok.

Beliau juga menegaskan bahawa pemakaian tengkolok bersama busana lengkap amat digalakkan dan hendaklah disertakan dengan akhlak yang baik kerana sifat tengkolok mengambarkan keilmuan si pemakai dan dihormati akan kebijaksanaannya. Mohamad Razali yang berasal dari Kota Tinggi, Johor telah bergiat aktif dalam pembuatan reka bentuk tengkolok sejak tahun 2010 telah diberi kepercayaan untuk menghasilkan tengkolok Diraja oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Perlis pada tahun 2018.

Bagi Pengasas dan Presiden Persatuan Bentan Malaysia dan Persatuan Kebudayaan Tanah Beradat, Dato’ Nazri Kamal Al-Bentan berkata, “Persatuan ini telah bergiat aktif pada tahun 2012 bermula dengan bengkel membuat tanjak di Istana Kampung Gelam, Singapura, selepas itu di Tanjung Pinang Riau dan di Kampung Batam. Pada tahun ini, replika tanjak Pahang ‘Lang Menyongsong Angin’ hiasan kepala yang digunakan Sultan Pahang untuk istiadat Diraja negeri itu kini dipamerkan di Istana Budaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020)”.

Tambah beliau, antara objektif penubuhan persatuan ini termasuklah mengekalkan tradisi tengkolok supaya tidak ditelan zaman. Selain itu, persatuan ini banyak membantu golongan belia menghasilkan tengkolok dan kini mereka telah membuat perusahaan ini secara serius dan membantu meningkatkan ekonomi hidup orang Melayu. Pembuat tengkolok ini juga dipanggil sebagai ‘penakuk’. Jualan tengkolok bergantung kepada jenis material seperti songket, kain kapas dan sebagainya.

Menurut Dato’ Nazri Kamal terdapat hampir 400 jenis lipatan tengkolok dan beliau berharap agar pemahaman mengenai pembuatan, pemakaian tanjak dan ikatan samping ini berterusan dan terus disebarkan kepada semua peringkat masyarakat. Setiap negeri mempunyai tengkolok warisannya tersendiri, oleh kerana itu adat resamnya harus dipelihara. Kini tengkolok banyak dijual secara atas talian dan tidak kurang juga yang mengambil upah menakuk tanjak mengikut permintaan pembeli.

Fasilitator membantu peserta membetulkan ikatan simpul tengkolok.

Peserta USIM, saudara Mohd Wafi Zalizan berkata dengan wujudny program O-Pro ini dapat menarik minat generasi muda untuk menghayati seni warisan bangsa dengan mempelajari secara praktikal pembuatan tengkolok dan mendalami maksud yang terkandung disebalik keunikan reka bentuknya.

Sementara itu, peserta luar yang mengikuti program ini Hazelina Ghazaly berkata “program seumpama ini perlu diteruskan kerana ini adalah salah satu platform untuk kita tahu secara asas dari segi lipatan, nama tengkolok, simpulan dan solekan sesebuah penghasilan tengkolok. Sebagai anak bangsa kita perlu tahu serba sedikit sejarah di sebalik mahkota kepala yang di juga dipanggil tengkolok.”

Bagi Maisarah Saies pula, beliau sememangnya tidak ketinggalan mengikuti acara seperti ini untuk menambah kemahiran dan baginya sebagai usahawan yang sedang berjinak dengan perhiasan kepala ini, tengkolok dilihat mempunyai potensi untuk dijual kerana anak muda kini semakin minat untuk mengayakan tengkolok kreasi.

Pada kali ini peserta program telah didedahkan dengan pembuatan tengkolok antaranya Lang Menyusur Angin, Lang Menyosong Angin, Dendam Tak Sudah dan Solok Timbo.

Sebelah petangnya peserta telah diajar tentang pemakaian samping. Menyentuh tentang samping bagi lelaki bujang hendaklah dipakai pada jarak dua jari atas tempurung lutut. Manakala lelaki yang sudah berkahwin hendaklah dipakai bawah dibawah lutut yang mana hujung kain berada di bawah paras tempurung lutut. Teknik ikatan dan pemakaiannya mengandungi maksud tertentu menggambar status individu. Secara asasnya kepala kain mesti diletakkan di bahagian belakang si pemakai. Jenis ikatan samping yang telah dipraktik oleh peserta antara fajar menyinsing, bunga tanjung, dendang perantau dan lipat tangkup yang sering digayakan di musim perayaan dan menghadiri acara rasmi.

Selain itu, teknik pemakaian kain semutar yang terkenal di kalangan masyarakat pantai timur khususnya negeri Kelantan yang juga turut didedahkan kepada peserta. Semutar yang bermaksud kain ikat atau pengikat kepala kaum lelaki. Lebih jelas lagi ia merupakan pakaian lilit kepala bagi rakyat biasa yang tinggal di kampung. Peserta didedahkan dengan beberapa cara ikatan semutar yang berfungsi sebagai melindungi kepala dan rambut daripada panas terik dan mengelap peluh. Menurut Mohd Azoni Mohd Noor, fasilitator ikatan semutar, setiap ikatan mempunyai maksud tertentu dan kain ikat kepala ini juga melambangkan identiti sosio budaya masyarakat Melayu seperti nelayan, peraih dan sering dipakai oleh pesilat dalam majlis tertentu, dikatakan juga kain ini boleh dijadikan sebagai senjata apabila diserang musuh.

Program tersebut diakhiri dengan penyampaian sijil kepada peserta oleh Ismail Ahmed dan Dato’ Nazri Kamal Al Bentan.