Nilai, 15 Januari – Berbekalkan semangat dan mengukuhkan silaturahim organisasi, kumpulan teater Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tampil mempersembahkan teater dengan empat pementasan dalam sebuah konsep yang dinamakan ATRA Semester Showcase. Pementasan ini diadakan dengan setelah dua tahun terhenti disebabkan pandemik Covid-19.
Pementasan yang diadakan di sebelah petang (matinee show) dan malam bermula dengan teater Senyum Sang Puteri yang mengisahkan tiga pemuda yang ingin memikat Sang Puteri. Namun sang Puteri enggan menerima ketiga-tiga calon tersebut disebabkan tiada wibawa sebagai ketua keluarga. Pementasan ini turut membawa mesej bahawa sebaiknya dalam urusan mencari jodoh, kaum wanita juga berhak memilih pasangannya. Perkara ini jelas dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Apabila datang kepada kamu peminang yang engkau puas hati dengan agama dan kelakuannya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak kamu lakukan, akan berlaku fitnah di atas muka bumi, dan kerosakan yang berpanjangan.” (HR At-Termidzi).
Melalui hadis ini, RasuluIlah SAW berpesan kepada para wali supaya memilih calon suami untuk anaknya dalam kalangan orang yang memiliki agama dan akhlak yang mulia. Calon suami yang memiliki ciri-ciri ini diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dengan sebaik-baiknya, memelihara hak-hak dan kehormatan ahli keluarga; mendidik isteri dan anak-anak serta menafkahi mereka sewajarnya.
Salah seorang peserta ATRA, Muhammad Zarith Iskandar menzahirkan rasa gembira dengan komitmen semua ahli yang terlibat dengan pementasan ini. “Saya amat terharu dengan kesugguhan yang ditunjukkan oleh tenaga produksi yang akhirnya dapat diadakan semula pementasan ini”. Katanya yang memegang watak samseng menerusi Senyum Sang Puteri.
Sementara itu, emosi audiens turut direntap dengan rintihan seorang anak yang dahagakan belaian seorang ayah. Peranan sebagai pempimpin memberi kesan kepada corak kehidupan seluruh ahli keluarga. Jika tanggungjawab tidak dilaksanakan akan memberi kesan buruk dan institusi kekeluargaan akan runtuh. Perasaan hiba ketiadaan ayah dipersembahkan penuh penghayatan secara monolog oleh juara kebangsaan Monodrama Festival DBP (2012), Khairol Azhar Abd. Jalil atau lebih dikenali sebagai Azhar Jalil. Monodrama Piala Untuk Ayah menampilkan ekspresi seorang anak seolah-olah membayang kehadiran ayah di saat mengecapi kejayaan. Si anak berusaha keras untuk serlahkan bakat, menjadi perhatian dan harapan jurulatih sehingga berjaya meraih pelbagai anugerah dalam acara sukan. Seorang anak yang dahagakan kasih sayang seorang ayah dan tetap berusaha untuk ‘kelihatan’ di mata seorang ayah. Betapa tinggi dan amat bernilai sebuah kolam kasih sayang dan mampu memberi kesan emosi kepada anak.
Dalam pada itu, pengarah produksi, Muhammad Hariz Daniel Mohd Sharel Azlee menyatakan bahawa “cabaran utama yang dihadapi adalah persediaan untuk mementaskan dalam masa yang sangat terhad. Masa yang diambil tidak sampai sebulan untuk latihan pementasan dan persiapan, dan khuatir perbelanjaan akan meningkat, maka kami menggunakan sumber sekeliling seperti kostum, pengunaan set dan props yang paling minimum dan lakonan menjadi fokus utama agar dapat memberi yang terbaik kepada audiens”.
Sementara itu, pementasan Seperti Inikah Dunia mengisahkan tentang seorang wanita melahirkan anak luar nikah. Penampilan luaran keluarga tidak seindah yang dipaparkan. Ketua keluarganya merupakan ahli agama yang disegani. Disebabkan kesibukan, bapanya telah mengabaikan peranan dan tanggungjawab utama yang seharusnya dijadikan contoh dan rujukan keluarga, namun penampilan dan fungsinya kepada masyarakat lebih menjadi keutamaannya. Perkara ini menyebabkan ibunya mengambil jalan keluar dengan melibatkan diri bersama komuniti dan lantaran kesibukan kedua ibu bapanya, maka anak perempuan mereka merasa ‘kehilangan’ kehidupannya berasa kosong. Menerusi kisah yang dipaparkan, masyarakat seharusnya tidak bersikap prejudis terhadap wanita yang tersungkur. Permasalahan ini perlu diberi perhatian agar tidak menjadi barah akhirnya meruntuhkan institusi kekeluargaan.
Turut merintih emosi audiens, pementasan monodrama Repotoar Hujan #1: Kelip-kelip dan Si Bijeh Mata yang bersiri memaparkan sudut pandang seorang pendatang asing daripada negara sebarang melarikan diri disebabkan masalah hutang. Penghijrahannya ke tanah semenanjung Malaysia telah menemukan dia dengan wanita di negeri pantai timur dan berkahwin. Namun jodohnya tidak panjang, apabila isterinya meninggal dunia sewaktu melahirkan cahaya mata mereka. Hidupnya tidak semudah yang disangka apabila keamanannya direntap oleh pihak yang tidak bertanggungjawab akhirnya membawa dia ke kancah yang kejahatan dan terjebak dengan kuncu-kuncu jenayah dan sindikit. Lakonan mantap watak lelaki dari seberang dijayakan oleh pengarah teater berbakat Aloeng Silalahi. Beliau yang juga tenaga pengajar teater USIM, menaruh harapan agar kumpulan ATRA mampu ‘terbang’ lebih jauh lagi pada masa akan datang.
Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan USIM juga sebegai penyealaras kumpulan teater USIM, Mohamad Akmal Razali menyifatkan bahawa pementasan teater merupakan salah satu metod mendidik, menyampaikan mesej dan mampu memberi kesedaran serta teladan kepada masyarakat”.
Pementasan ATRA semester showcase diarahkan Aloeng Silalahi ini diadakan secara kolaborasi bersama Kejar Tayang sebuah produksi luar yang sedang meningkat naik. Berlangsung selama dua hari menyaksikan lebih 200 audiens memenuhi panggung budaya USIM dan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelajar dan juga alumni USIM.
Disediakan oleh:
EB Musfirah Hussin, Ejen Berita Kelab Penerbitan Kreatif
Disunting oleh:
Rozihani Mohamad, Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi & Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM