KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Percubaan pertama Deskol Production, Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) di bawah Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni, Pusat Kebudayaan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), membuahkan hasil apabila berjaya meraih Naib Johan dalam pertandingan Gelanggang Mono Maya IV @Kota Seni PJ 2025.

Persembahan yang memikat hati juri dan penonton oleh Hariz bagi naskhah “Kambing Hitam”.

Kemenangan ini sekali gus menyerlahkan bakat muda kelahiran Kuantan, Pahang, Muhammad Faiz Rozy yang juga pelajar jurusan Dakwah dan Pengurusan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM. Tampil dengan naskhah monodrama bertajuk “Kambing Hitam” merupakan buah tangan segar dengan mengangkat keberanian dengan menguji pemikiran dan cita rasa audiens merasai jalan cerita melalui pementasan  diluar kotak fikir.  Mengisahkan Nazmi, seorang pemuda yang dihantui trauma silam dan terjerat dalam satu insiden pembunuhan menggemparkan. Menjadi individu terakhir bersama tiga mangsa termasuk sahabat karibnya sendiri, Nazmi berdepan tekanan siasatan polis serta cemuhan masyarakat. Dalam mencari kebenaran, muncul rahsia lama, persahabatan yang retak, dendam yang terpendam serta kisah keluarga yang membuatkan penonton tertanya-tanya siapakah sebenarnya mangsa dan siapa yang bersalah dalam permainan konflik tersebut.

Menurut Faiz, pada awalnya belia tidak yakin dengan skrip tersebut kerana dianggap terlalu menyakitkan dan sadis. Namun dengan sokongan rakan-rakan serta bimbingan jurulatih, beliau nekad mengolah semula karya tersebut bersama sahabat karibnya Muhammad Hariz Daniel Sharel juga rakan seperjuangannya di USIM ke bentuk monodrama.

“Sejujurnya saya pada mulanya kurang berminat untuk menyertai kerana tiada pengalaman dalam monodrama. Tetapi atas galakan sahabat dan guru, saya ubah naskhah ke bentuk yang lebih bersesuaian dan Alhamdulillah, percubaan pertama ini akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Sementara itu, ATRA turut menghantar satu lagi penyertaan dan berjaya mendapat hadiah sagu hati dengan mempertaruhkan skrip berjudul Kotak Retak karya Atikah Nabilah Ahmad Rusdin Yunus. Pertandingan Gelanggang Mono Maya IV anjuran Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan Kota Seni PJ berlangsung pada 10 Ogos 2025 dengan beberapa peringkat penyertaan termasuk penghantaran skrip, proses saringan, sesi perbincangan serta taklimat pementasan sebelum memasuki pentas sebenar yang disertai oleh sembilan finalis.

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan