MERLIMAU, 22 April 2026 – Usaha meningkatkan minat terhadap sastera Melayu terus disuburkan di peringkat sekolah rendah apabila Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, Merlimau, Melaka menganjurkan Bengkel Deklamasi Sajak bertemakan Suara Berani, Jiwa Berpuisi. Program bimbingan sastera yang diadakan khusus buat murid tahun enam bertujuan mencungkil bakat terpendam serta membina jati diri dan keberanian murid sebelum melangkah ke alam persekolahan di peringkat menengah.

Bengkel ini dibimbing oleh pelajar USIM yang kian meningkat naik dalam arena sastera tanah air, saudara Muhammad Zamratur Rahman Yussri dari Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Menerusi bengkel tersebut, peserta didedahkan dengan asas dan teknik lontaran vokal, pemahaman teks dan serta penghayatan dan penjiwaan puisi. Murid-murid yang terlibat juga diminta mendeklamasikan puisi dengan suara yang lantang dan mimik penuh emosi. Ini membuktikan sastera mampu menjadi medium terbaik dalam membina keyakinan diri murid sekolah.

Guru Besar SK Batu Gajah, Tn. Hj. Jainal bin Mohd Noh menzahirkan penghargaan atas keprihatinan serta sokongan padu daripada pihak Pusat Kebudayaan USIM di atas penganjuran program pemindahan ilmu berkaitan puisi Melayu. Kerjasama erat antara pihak sekolah dan universiti seumpama ini disifatkan sebagai jambatan murni dalam memastikan khazanah bahasa ibunda terus hidup subur di jiwa generasi pelapis negara.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan