Nilai – Bertarikh 3 September 2016 telah berlangsungnya Bengkel Fotografi 2016 yang diadakan di Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Bengkel yang disertai kesemua ahli Unit Multimedia ini di bawah anjuran Pusat Kebudayaan dengan kerjasama Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) dan dikendalikan oleh salah seorang Jurugambar Profesional, Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) iaitu Encik Ahmad Adib Jumhuri.
Program ini diadakan bagi mengangkat objektif memperkasa kemahiran fotografi dan dalam masa yang sama, peserta kursus juga memperolehi asas penggunaan kamera DSLR serta menguasai teknik-teknik fotografi selari dengan perkembangan dunia fotografi masa kini. Sementara itu, bengkel yang bersifat interaktif ini dilihat memberi peluang kepada peserta untuk mengasah bakat yang terpendam disamping meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri dalam menghasilkan gambar yang hidup dan berkualiti.
Bengkel yang dimulai dengan sesi modul bimbingan lebih menekankan tentang penguasaan kamera dan aksesori, teori asas komposisi dan cara pengendalian mode manual yang mana pengendalian mode ini memberi impak yang paling berkesan di dalam sesebuah gambar yang diambil. Pengendalian mode manual menjadi satu masalah kepada jurugambar-jurugambar yang baru menapak di dalam dunia fotografi. Oleh demikian, penumpuan lebih kepada pengendalian modemanual dilihat sedikit sebanyak membantu peserta-peserta yang terlibat di dalam kursus ini.
Berpengalaman sebagai jurugambar profesional USIM, Encik Ahmad Adib turut berkongsi pengalamannya sepanjang menjadi jurugambar dan turut juga berkongsi hasil-hasil gambar menarik yang pernah diambil untuk memberi look and feel kepada para peserta untuk setiap teknik gambar yang digunakan .
Sesi kedua diteruskan pula dengan segmen tugasan lapangan yang mana ianya memerlukan peserta untuk mengambil gambar mengikut kreativiti masing-masing dan akan dinilai oleh Encik Ahmad Adib pada sesi akhir bengkel tersebut.
Zulaika Hasbullah, salah seorang peserta bengkel ini percaya bahawa setiap individu mempunyai potensi dan kelebihan untuk dikembangkan, dan salah satu cara untuk memilikinya adalah dengan menghadiri bengkel sebegini.
“Bengkel pada hari ini telah memberikan banyak maklumat yang berkesan di mana ianya susah untuk saya dapat dengan hanya membaca buku,” katanya.
Sepanjang bengkel ini berlangsung, perkongsian permasalahan mengenai fotografi turut diketengahkan antaranya adalah mengenai isu penggunaan lensa di mana menurut Encik Ahmad Adib, jurugambar perlu bijak dalam memilih lensa yang sesuai mengikut kiraan jarak dan situasi. Pemilihan lensa yang tepat boleh membantu menghasilkan gambar yang lebih baik dan menarik.
“Untuk memahirkan teknik fotografi ini, seseorang itu tidak boleh lari dari memperbanyakkan latihan fotografi sehingga berpuas hati dengan hasil yang diperolehi,” tegas beliau. Menurutnya lagi, fotografi adalah salah satu medium untuk menghasilkan karya kreatif yang mempunyai unsur seninya yang tersendiri. Oleh itu, dengan memahami fungsi sebenar sesebuah kamera, proses penghasilan gambar akan menjadi lebih mudah tanpa bergantung kepada kreativiti semata-mata.
Dunia fotografi masa kini amat penting selari dengan media baru, media masa dan juga media elektronik kerana tanpa gambar, amat susah seseorang wartawan atau masyarakat untuk menyampaikan maklumat dan gambaran yang berada di dalam pemikiran mereka. Oleh itu, kursus fotografi yang berlangsung selama sehari ini dilihat berjaya dalam memberi ilmu kepada peserta yang terlibat sekaligus menimbulkan minat baru dan idea kepada para peserta yang masih berfikir-fikir untuk mencari minat yang boleh memberi pulangan dalam bentuk ilmu dan kewangan.
Disediakan oleh: Noor’atiqah Ibrahim
Unit Multimedia, Pusat Kebudayaan USIM