SHAH ALAM, 3 Oktober – Kumpulan Bushra Lana, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya meraih tempat ketiga dalam Festival Barzanji dan Marhaban Peringkat Negeri Selangor yang menyaksikan tujuh buah kumpulan daripada pelbagai peringkat umur.
Penyertaan Bushra Lana pada kali ini menggabungkan mahasiswa dan alumni PUSKEB USIM sebagai usaha memperkukuh kesepaduan serta memantapkan kualiti vokal dan persembahan dalam kalangan ahli kumpulan.
Kejayaan tersebut merupakan satu penghargaan bermakna buat seluruh ahli Bushra Lana, khususnya selepas sekian lama tidak menyertai pertandingan seumpama ini. Walaupun sebahagian besar anggotanya terdiri daripada ahli baharu, perkara itu tidak mematahkan semangat mereka untuk memberikan persembahan terbaik dan membuktikan kemampuan kumpulan dalam bidang seni alunan Barzanji dan Marhaban.
Menurut Muhammad Syafiqul Izzan b Saleem, pelajar tahun dua, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, penyertaan kali ini lebih tertumpu kepada usaha menimba pengalaman serta menguji kemampuan ahli kumpulan dalam suasana pertandingan.
“Penyertaan kami pada kali ini lebih terarah kepada usaha menambah pengalaman. Namun, kami amat bersyukur dengan kemenangan yang diperoleh. Pengiktirafan tempat ketiga ini menjadi pembakar semangat kepada seluruh ahli untuk terus berusaha, lebih aktif dan komited dalam memperjuangkan seni alunan Barzanji dan Marhaban sebagai salah satu medium penyampaian dakwah,” katanya.
Beliau turut berharap agar kejayaan ini menjadi titik permulaan kepada Bushra Lana untuk terus memperkukuh potensi kumpulan, meningkatkan kemahiran persembahan serta membuka lebih banyak ruang penyertaan dalam festival dan pertandingan seni Islam pada masa akan datang.
Pencapaian ini bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada kumpulan Bushra Lana dan USIM, malah mencerminkan komitmen mahasiswa dalam memelihara serta mengangkat seni warisan Islam agar terus subur dan mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Pegawai Kebudayaan
Pusat Kebudayaan, Universiti Sains Islam Malaysia