BANGI, 30 Ogos – Musim cuti semester yang selalunya dimanfaatkan untuk berehat tidak menghalang barisan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menjadikan pentas teater sebagai medan penerokaan ilmu baharu. Membuktikan komitmen dan semangat waja, kumpulan pelajar ini berjaya menyajikan persembahan yang mantap dan memukau menerusi pementasan teater muzikal ‘Tomyam Berdarah’ yang berlangsung di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pementasan berprestij ini merupakan hasil gandingan sinergi antara Kelab Kejar Tayang bersama Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) Angkatan Seni Budaya Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama produksi pengurusan teater tanah air, CTRA Production dan UKM.
Meneroka Ilmu Industri Melalui Latihan dan Pengalaman Lapangan
Melalui kerjasama strategik ini, pementasan muzikal ‘Tomyam Berdarah’ tidak sekadar menjadi sebuah persembahan pentas, malah berfungsi serapan ilmu terbuka kepada pelajar USIM untuk mendalami selok-belok dunia teater profesional. Peluang berkongsi pentas dan bekerjasama rapat dengan barisan pelakon jemputan serta penggiat industri memberi ruang kepada pelajar untuk meneroka pelbagai disiplin ilmu seni persembahan secara langsung.

Mungkin sebahagian perkara dilihat secara asas namun ianya menjadi nilai tambah kepada pelajar bukan sahaja mengasah bakat lakonan, alunan vokal dan kawalan pentas, malah mereka turut menyerap ilmu pengurusan produksi yang praktikal bermula daripada pengurusan pentas, aspek teknikal, tatarias, hinggalah disiplin masa yang ketat semasa latihan intensif. Pengalaman berada di bawah bimbingan dan sentuhan penggiat teater yang juga bertugas sebagai Tenaga Pengajar Seni Budaya USIM Aloeng Silalahi (Mohamad Arif bin Taslim) selaku Pengarah, Penulis Skrip, dan Pencipta Lagu, menambah pengalaman pelajar memahami proses penterjemahan karya bertulis kepada persembahan muzikal yang hidup beremosi dan metod penyampaia mesej yang sampai kepada audiens.
Dedikasi Cuti Semester dan Kerjasama Padu Produksi
Keazaman untuk memberikan yang terbaik menyaksikan para pelajar sanggup mengorbankan masa cuti semester mereka demi menjalani latihan intensif berminggu-minggu. Setiap sesi latihan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbaiki kekurangan dan menyerap sebanyak mungkin tunjuk ajar daripada penggiat seni profesional tempatan. Kekuatan utama di sebalik kejayaan persembahan ini turut didorong oleh kecekapan 28 tenaga produksi yang terdiri daripada gabungan pelajar dan alumni USIM yang mengendalikan aspek pementasan serta pengurusan pentas dengan penuh berdisiplin. Menurut salah seorang ahli produksi, Ain Nabila Senu, pelajar tahun 4, Fakulti Ekonomi dan Muamalat yang juga bertindak sebagai Pengurus Pentas menyifatkan bahawa latihan secara berfokus mereka hanya 17 hari dan ini tidak menghalang untuk terus gigih berlatih. Menurutnya lagi, walaupun pementasan muzikal ini merupakan kali kelima dipentaskan, setiap siri tetap mempunyai keunikan, perbezaan dan cabaran tersendiri. Pementasan kali ini turut menampilkan kelainan dan sekali gus memberikan pengalaman baharu kepada barisan produksi apabila turut bersama dengan dua selebriti iaitu Karl Shafek dan pelakon terkenal teater tanah air Juhara Ayob.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohd Salehudin Sukor meluahkan rasa bangga atas kesungguhan para pelajar yang memanfaatkan tempoh pementasan ini sebagai platform pembelajaran kendiri yang amat bernilai. Menurut beliau, penerokaan ilmu seni melalui jaringan universiti industri seperti ini penting dalam melahirkan graduan USIM yang bukan sahaja berilmu, malah berkeyakinan tinggi, berdisiplin dan berdaya saing secara langsung menerusi lapangan bersama pihak industri. Kejayaan pementasan ini turut disokong kuat oleh barisan kru dan tenaga produksi yang komited, gabungan mantap antara pelajar dan staf berpengalaman daripada Pusat Kebudayaan USIM dan Kelab Kejar Tayang. CTRA Production yang bertindak sebagai penerbit turut giat melaksanakan usaha promosi bagi pementasan ini, sekali gus mendapat liputan meluas daripada media elektronik seperti RTM, BERNAMA dan Astro Awani, selain publisiti menerusi akhbar arus perdana serta pelbagai portal berita.
Pementasan Teater Muzikal ‘Tomyam Berdarah’ yang berlangsung pada 28 hingga 30 Ogos 2026 di Panggung Seni UKM ini melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang. Diharapkan agar ilmu, pengalaman, dan jaringan kerjasama yang diperoleh pelajar USIM sepanjang pementasan ini menjadi bekal berharga untuk terus memartabatkan seni budaya tempatan dengan karya-karya yang bermutu tinggi dan patuh syariah pada masa hadapan.
Disediakan oleh:
Muhammad Zamratur Rahman Yussri
Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan
Universiti Sains Islam Malaysia