TERENGGANU, 25 Julai – Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi juga daripada kumpulan KHUPAS Angkatan Seni Budaya sekali lagi membuktikan kewibawaannya dalam bidang seni dekalamasi puisi apabila berjaya merangkul Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-40 Peringkat Negeri Terengganu 2026.
Pertandingan berprestij yang berlangsung pada 25 Julai 2026 di Institut Pendidikan Gurus Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu itu dianjurkan bersama oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur serta Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA).

Meskipun terpaksa berdepan kesibukan dalam tempoh peperiksaan semester, dek keazaman dan minat yang mendalam terhadap puisi, anak muda ini kekal cemerlang membahagikan masa antara pelajaran dan latihan. Beliau menyampaikan puisi Rumah Bangsa nukilan Ahmad Zauawi Che Cob.
Melalui kejayaan ini, beliau bakal mewakili negeri Terengganu ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan kali ke-40 (SDPK) yang dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos ini di Kuching, Sarawak.
Sementara itu, USIM turut menghantar beberapa orang wakil pelajar ke SDPK di beberapa negeri, antaranya saudara Abdul Rasmin bin Abdul Rahman di peringkat negeri Selangor dan saudari Naurah Mursyidah Naili Nasir di Negeri Perak.
Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kesungguhan, komitmen dan potensi mahasiswa USIM dalam bidang seni budaya dan kesusasteraan Melayu khususnya deklmasi puisi, malah menjadi bukti keupayaan universiti melahirkan bakat yang mampu bersaing di pentas kebangsaan. Kejayaan ini turut meneruskan tradisi kecemerlangan USIM apabila wakil universiti secara konsisten berjaya melangkah ke peringkat kebangsaan sejak tahun 2018 hingga kini. Secara keseluruhannya, USIM telah mencatat penyertaan ke peringkat akhir Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan bermula tahun 2018, 2020, 2023, 2024, 2025 dan 2026, sekali gus mengukuhkan reputasi universiti sebagai antara institusi yang sentiasa melahirkan deklamator berkualiti.
Disediakan oleh:
Muhammad Zamratur Rahman Yussri
Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM