NILAI, 16 Mei 2026 – Penganjuran Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) 2026 sempena Suara Rumpun Puisi Nasional (SERUMPUN) 2026 tahun ini diperluaskan promosi media arus perdana, sekali gus memperkukuh usaha memperkenalkan program berprestij itu kepada masyarakat.
Pada 14 Mei 2026, SePENA diketengahkan dalam slot Fokus 30 terbitan BERNAMA. Sesi temu bual tersebut memberi tumpuan kepada penganjuran SePENA yang kini memasuki edisi ketiga, termasuk memperkenalkan kategori baharu, iaitu Penjawat Awam sebagai usaha memperluaskan penyertaan dan menyemarakkan budaya apresiasi puisi dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Usaha promosi diteruskan pada 16 Mei 2026 menerusi program Selamat Pagi Malaysia di RTM. Mewakili Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai tetamu undangan ialah Pengarah Program SePENA, Muhammad Zamratur Rahman Yussri, bersama Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Encik Mohd Salehudin Sukor.
Sepanjang sesi temu bual, kedua-dua panel berkongsi aspirasi SePENA dalam mengangkat puisi sebagai medium penyampaian mesej keamanan, perpaduan dan kemanusiaan sejagat selari dengan tema SePENA 2026, “Suara Dunia, Menyatu Benua”. Perkongsian tersebut turut menekankan peranan puisi sebagai wahana yang mampu merentas sempadan bahasa, budaya dan negara dalam menyatukan masyarakat melalui kekuatan seni dan sastera.

Menambah seri siaran pada hari berkenaan, kumpulan KHUPAS Pusat Kebudayaan USIM (PUSKEB) turut dijemput mengadakan persembahan khas bersempena sambutan Hari Guru. Persembahan puisi secara langsung itu sebagai menghargai jasa guru, malah menyerlahkan bakat seni mahasiswa USIM serta memperkukuh imej universiti sebagai institusi yang aktif memartabatkan seni, budaya dan kesusasteraan di peringkat nasional.
Disediakan oleh:
Muhammad Zamratur Rahman Yussri
Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan