KUALA LUMPUR, 26 April 2026 – Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya memukau penonton menerusi persembahan pembukaan berkonsepkan Puisidra (Puisi Drama) sempena Malam Gemuruh Puisi PENA yang berlangsung di Ruang Legar Dataran Merdeka yang diadakan bersempena Kota Baca 2026.
Persembahan tersebut diadakan atas jemputan rasmi daripada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), sekali gus menjadi pengiktirafan terhadap kemampuan mahasiswa USIM dalam mengangkat seni persembahan berteraskan puisi.

Gabungan pelajar USIM berbakat iaitu Rasmin, Rahman, Najmi dan Faruqi berjaya menghidupkan naskhah puisidra dengan penuh penghayatan. Persembahan yang menggabungkan deklamasi puisi, lakonan, vokal yang mantap, ekspresi wajah serta gerak dramatik berjaya menyampaikan mesej yang mendalam, sekali gus menyentuh emosi penonton dan pengunjung yang memenuhi Dataran Merdeka.
Persembahan tersebut bukan sahaja menyerlahkan kreativiti mahasiswa USIM dalam menterjemahkan karya sastera ke pentas persembahan, malah bersifat segar, kreatif dan dekat dengan masyarakat.

Program Kota Baca sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung dari 24 hingga 26 April 2026 merupakan anjuran Perbadanan Kota Buku dengan kerjasama beberapa rakan strategik sebagai platform menyemarakkan budaya membaca, penghayatan sastera serta apresiasi terhadap karya-karya tempatan,
Disediakan oleh:
Muhammad Zamratur Rahman Yussri
Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan