NILAI, 12 April – Peribahasa Melayu ‘Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain,’ amat bertepatan menggambarkan kesungguhan 15 peserta yang terdiri daripada pelajar Kelab Pengurusan Persembahan Seni, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat julung kalinya menyertai Organization Enhancement Programme (O-PRO): Restorasi Tengkolok di Galeri Seni PUSKEB USIM.

Program yang dibimbing oleh Encik Mohd Faidzil Redzuan, merupakan kakitangan USIM dan aktif sebagai penggiat yang berpengalaman dalam seni pengolahan dan penghasilan tengkolok. O-PRO ini diadakan bertujuan memperkasa pengetahuan serta kemahiran pelajar dalam aspek pemeliharaan warisan busana Melayu, khususnya seni penjagaan tengkolok.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan teknik penjagaan, penyelenggaraan dan pemuliharaan tengkolok agar bentuk lipatannya kekal kemas serta struktur rekaannya tidak berubah. Selain itu, peserta turut mempelajari kaedah penyimpanan yang betul bagi memastikan tengkolok sentiasa berada dalam keadaan baik, tahan lama dan tersedia untuk si pemakai.

Penganjuran O-PRO ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada kemahiran teknikal peserta, malah menyemai rasa tanggungjawab dalam memelihara warisan budaya Melayu agar terus dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan