KUALA PILAH, 2 April 2026 – Muhammad Zamratur Rahman Yussri daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Deklamasi Sajak Peringkat Zon Tengah. Pertandingan ini dianjurkan khas bersempena sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-70 dengan tema perjuangan “Restu Jiwa Pahlawan”. Pertandingan yang diadakan di Pentas Dewan Sukan Dalaman, Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah menyaksikan 11 penyertaan dari seluruh Zon Tengah.

Zamratur Rahman memegang jawatan dan bergiat aktif sebagai Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif, pelajar Tahun 4 Fakulti Pengajian Bahasa Utama mempertaruhkan puisi karya Sani La Bise yang bertajuk Potret Silam di Muzium Bangsa. Penghayatan dibawakan oleh beliau penuh dengan emosi, ekspresi wajah yang dramatik serta vokal yang memukau mengikut ketepatan jeda puisi.

Kemenangan ini bukan sahaja mengharumkan nama beliau malah menjadi penanda aras bagi generasi muda untuk terus memelihara dan memartabatkan seni deklamasi sajak di Malaysia. Penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, Menjalankan Tugas Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Penganjuran program ini membuktikan bahawa sastera warisan bangsa masih mendapat tempat di hati generasi muda hingga ke hari ini.

Disediakan oleh:
EB Khairul Asyraf Khalid
Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan

Gambar ihsan DBP