26 September, Shah Alam – Selaras dengan usaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat berbilang kaum, Kelab Seni Budaya Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama SJK © Kampung Baru Semenyih telah berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan Sincerely Setia Youth Synergy Programme anjuran Yayasan SP Setia.

Program rintis ini SP mengangkat tema “Manifestasi Perpaduan Melalui Kesenian”, integrasi pelbagai disiplin seni seperti nyanyian, lakonan dan puisi digabungkan dalam satu persembahan. Persembahan ini digabungjalin bertujuan mengatasi perbezaan, menghapuskan prasangka demi mencapai kerhomonian dan kesepakatan dalam kepelbagaian budaya. Sketsa “Nak Jadi Apa?” yang disajikan mengangkat elemen kebersamaan dan semangat sayang kepada negara sekali gus memberi inspirasi untuk mengejar cita-cita dan berbakti kepada negara.

Salah satu babak di dalam teater “Nak Jadi Apa”?

Menurut pengarah program, Najmi Adli Mustaffa berkata, “penganjuran program seperti ini merupakan satu pendekatan yang baik dalam usaha melibatkan pelbagai kelompok komuniti bagi membina kesatuan dan keharmonian sesama rakyat Malaysia berbilang kaum dan budaya.” Katanya lagi, berhadapan dengan kanak-kanak yang berbeza umur, agama dan kaum merupakan satu cabaran yang hebat. Namun, nilai toleransi dan hormat-menghormati yang diterapkan sepanjang sesi latihan mampu merapatkan jurang perbezaan.

Dalam pada itu, guru pengiring SJK(C) Kampung Baru Semenyih Norhaleza Wan Ahmad, berpendapat bahawa penganjuran program seperti ini banyak memberi manfaat kepada murid-murid. “Program ini tidak hanya mampu meningkatkan kemahiran berbahasa melayu, malah ianya mampu membentuk karakter dan kemahiran sosial murid, selain mencungkil bakat terpendam yang mungkin tidak mereka sedari sebelum ini”, katanya ketika ditanya berkenaan impak positif terhadap murid-murid yang terlibat dengan program ini.

Teater “Nak Jadi Apa” yang dipentaskan bersama gabungan pelajar USIM dan murid dari SJK(C) Kg. Baru Semenyih.

10 orang murid yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India telah mewakili SJK (C)Kampung Baru Semenyih dalam pertandingan ini. Manakala, seramai tujuh pelajar USIM mewakili Kelab Penerbitan Kreatif, Kelab Pengurusan Persembahan Seni dan Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni terlibat sebagai pembimbing sepanjang tempoh dua minggu sesi latihan diadakan dan minggu akhir pertandingan persembahan melibatkan enam tujuh kumpulan terdiri daripada enam Universiti Awam.

YM Dato’ Tengku Marina Tunku Annuar, Pengerusi Yayasan SP Setia dalam ucapannya turut menzahirkan rasa syukur dan teruja dengan kerjasama dan penglibatan golongan belia dalam menjayakan program yang julung kali diadakan ini. Kongsinya lagi, program ini merupakan sebagai satu inisiatif yang baik bagi mengembangkan bakat belia dalam bidang seni budaya disamping memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

USIM dan SJK(C) Kg. Baru Semenyih mendapat tempat ketiga.

Pertandingan akhir Sincerely Setia Youth Synergy Programme menyaksikan UiTM (2) dinobatkan sebagai johan, manakala naib johan UiTM(1) melibatkan 46 belia berbilang bangsa dari universiti-universiti terpilih seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan 80 murid dari sekolah-sekolah angkat Yayasan SP Setia.

Disediakan oleh:
Siti Hawa Syafari Ishak
Ejen Berita,
Kelab penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM