Bismillahhirrahmanirrahim.
“Seni yang mampu memperkasa sifat-sifat baik yang didalamnya terkandung segala intipati pengajaran tentang kemanusiaan yang akhirnya membina tamadun akalnya. Sesungguhnya mencintai seni yang berbudaya itu adalah sebaik-baik hiburan yang sepatutnya kita nikmati supaya kita sentiasa di rahmati Allah SWT dan meletakkan seni sebagai alat untuk memberi, mendapat manfaat selain mendidik khalayaknya.”
Kita perlu mengenali seni dalam konteks budaya yang baik sifatnya. Seni secara definasinya merupakan karya atau hasil kreatif yang dicipta dengan keindahannya yang tersendiri dengan disiplin-disiplin kreatif yang berbagai antaranya seperti seni persembahan, seni tampak dan seni halus.
Budaya jika ditakrifkan secara mendalam bukan sekadar tingkah laku dan cara kehidupan manusia sahaja malah ianya jelas satu manifestasi kemajuan pemikiran manusia, mengajar manusia supaya berbudaya yang terikat dengan adab dan nilai yang baik dalam kelompoknya, suku kaum dan masyarakat sekelilingnya. Maka jika dikaitkan budaya dalam konteks seni, ianya merupakan cetusan hasil kreatif ciptaan manusia yang berupaya mengajar manusia lain berilmu, berfikir, berpengetahuan, beradab kita dan kenalinya sebagai seni yang berbudaya.Ini kerana seni yang berbudaya secara jelas dan halusnya mengajak manusia atau khalayak berfikir, berpengetahuan dan berdaya untuk memajukan masyarakat kerana ilmunya yang bermanfaat. Oleh kerana budaya itu sangat dinamik sifatnya yang mungkin bersifat positif (memberi manfaat) dan mungkin juga negatif sifatnya (mendatangkan kemudaratan) kepada masyarakat maka kita diberi akal untuk berfikir supaya dapat mengadili dengan bijaksana bagaimana menghindari seni yang tidak memberi manfaat seperti yang sering dihidangkan oleh media barat? Disinilah hadirnya Islam mengajar dan memberi panduan kepada kita, manusia ciptaanNya.Firman Allah S.W.T dalam surah At-Tinn ayat 4 memberitahu bahawa sesungguhnya manusia adalah ciptaan Allah S.W.T yang sebaik-baik kejadian.
Persoalanya bagaimana seni mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Ianya terletak kepada cara kita melihat dan mengambil inspirasi dan akhirnya menghidangkan kepada khalayak. Seni dikaitkan dengan keindahan.Maka kita perlu menilai maknawinya dengan ‘world view’ Islam.
Kita harus akui bahawa seni dan budaya sangat dinamik. Seni dan budaya juga tidak dapat lari daripada mengalami akulturasi. Kitalah yang perlu mengakomodasikan agar selari dan sesuai dengan konsep seni yang berbudaya. Manusia generasi baru yang mereka gelarkan sebagai X, Y dan bermacam lagi gelaran dimasa akan datang perlu mempunyai satu bentuk pemikiran yang mampu menilai seni yang berbudaya dan bukan sekadar melihat sensasi dan persepsi masyarakat sahaja. Bertambah dangkal jika seni yang dipinjam dari barat sekadar untuk dinikmati pesonanya. Mencintai seni samada tradisi mahupun kontemporari amat diperlukan oleh khalayak. Paling penting kesenian harus berperananbesar dalam mendidik dan menjadikan khalayak berbudaya. Sebagai contoh kesenian Dikir Barat yang boleh disaratkan dengan ilmu yang mendidik khalayaknya. Pendikir tersohor seperti Halim Yazid banyak melahirkan karya yang mendidik khalayak dengan sentuhan kiasan dan makna tersirat. Menilai karya seperti ini kita perlu kembali melihat keindahan dengan ‘hati’ dan bukan sekadar luaran sahaja seperti yang ditegaskan oleh Imam Al-Ghazzali.Begitu juga lagu- lagu dengan pendekatan kontemporari seperti Penghujung Rindu oleh Jamal Abdillah yang dicipta oleh komposer terkenal Fauzi Marzuki dan liriknya oleh Lukhman S. Jika menilai dengan ‘mata dan telinga’ sahaja maka kita dengan jelas telah jauh dari menikmati maknawi intrinsiknya. Mencintai seni yang berbudaya itu adalah sebaik-baik hiburan yang sepatutnya kita nikmati supaya kita sentiasa di rahmati Allah S.W.T dan meletakkan seni sebagai alat untuk memberi, mendapat manfaat selain mendidik khalayaknya.
Universiti Sains Islam Malaysia