KUALA LUMPUR, 3 Jun – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Kebudayaan sekali lagi mengangkat produk seni budaya sebagai ejen mendidik masyarakat dengan menerbitkan tiga buah produk iaitu Kit Mahir Khat dan Jawi, album ‘USIM Taranum 5 Juara’ dan buku bertajuk ‘Foto Jurnal Kolo Pilah: Di Sini Hati Den Terpaut’. Penghasilan produk ini merupakan hasil kerja kreatif mahasiswa, alumni dan warga USIM yang bertujuan untuk mengangkat seni budaya Islam dan meluaskan capaian jaringan produk seni yang memenuhi kepatuhan syariah untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
Majlis pelancaran bagi produk buku Kit Mahir Khat dan Jawi dan album ‘USIM Taranum 5 Juara’ disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, manakala buku ’Foto Jurnal Kolo Pilah: Di Sini Hati Den Terpaut’ dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 yang sedang berlangsung pada 26 Mei sehingga 4 Jun 2023.
Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata “penghasilan produk Seni Berbudaya merupakan sumbangan USIM kepada masyarakat untuk memperlihatkan bahawa seni budaya Islam mampu diterjemahkan melalui hasil karya yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat”. Ini juga bertepatan dengan saranan Naib Canselor USIM bagi mengukuhkan keterlihatan USIM di mata masyarakat di luar sana.
Pada tahun ini, Pusat Kebudayaan USIM sekali lagi menjalinkan usahasama penerbitan bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menerusi penerbitan buku ‘Foto Jurnal: Kolo Pilah Di Sini Hati Den Terpaut’. Secara ringkasnya, Buku ‘Foto Jurnal Kolo Pilah: di Sini Hati Den Terpaut’ merakamkan keindahan dan kekayaan khazanah Kuala Pilah melalui koleksi foto sebagai fokus utama yang dijalinkan dengan naratif teks yang menyentuh emosi. Mengandungi 16 tajuk dan menerusi karya ini, pembaca dapat menyoroti spektrum unik seni budaya dan warisan tradisional, makanan tradisi, rekreasi dan alam sekitar, serta tokoh anak negeri yang menjadi lambang keunikan Kuala Pilah. Daerah saujana hijau yang terletak di tengah-tengah Negeri Sembilan ini masih berpegang teguh pada adat warisan sejak zaman-berzaman. Elemen estetik inilah yang menjadikan Kuala Pilah terkenal sebagai pusat pelancongan kebudayaan dan seni warisan Adat Perpatih. Karya hasil kerjasama strategik ini diharapkan dapat memperkenalkan keistimewaan Kuala Pilah yang merupakan khazanah kekayaan budaya di negara Malaysia.
Manakala album USIM Taranum 5 Juara menampilkan qari USIM terdiri daripada pelajar, alumni dan pensyarah USIM yang telah menempa nama di pentas tilawah al-Quran hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Album ini menghimpunkan alunan suara dan bacaan al-Quran oleh qari-qari hebat seperti Dr. Anuar Hasin, Mohamad Husaini Mahmur, Muhammad Umar Syazuli, Muhammad ‘Ammar Mukhlis Abdul Mohsin dan Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan. Penerbitan album USIM Taranum 5 Juara ini bertujuan menjaga kelestarian seni taranum ke peringkat yang tinggi ke dalam bentuk dokumentasi tersusun untuk rujukan masyarakat dan generasi masa depan. Album ini juga diharap mendidik masyarakat dan istiqamah menunaikan kewajiban sebagai insan berlandaskan al-Quran sebagai panduan hidup sejagat. Album USIM Taranum 5 Juara memuatkan 11 bacaan al-Quran yang dicetak menggunakan pemacu pena yang lebih mesra pengguna untuk memudahkan pendengar mendengar dengan menggunakan sebarang peranti.
Sementara buku Kit Mahir Khat dan Jawi pula merupakan sebuah buku hasil kretiviti dan kerja-kerja kreatif mahasiswa, alumni dan staf Pusat Kebudayaan USIM. Buku ini dihasilkan dalam dua siri iaitu siri pertama berkaitan Permainan Tradisional mengandungi lapan tajuk seperti permainan congkak, gasing, galah panjang dan beberapa lagi. Manakala siri kedua berkaitan Persembahan Seni Budaya juga mengandungi lapan tajuk seperti persembahan dikir barat, zapin pekajang, rebana ubi dan lain-lain lagi.
Lebih menarik, kedua-dua siri buku ini memaparkan visual bergambar, latihan huruf tunggal dan huruf bersambung tulisan jawi untuk ditulis semula oleh kanak-kanak. Bersesuaian dengan kumpulan sasaran kanak-kanak berumur 6 hingga 9 tahun, buku ini menampilkan keunikan inovasinya dengan disertakan kod QR untuk diimbas oleh pengguna bagi melihat video demonstrasi penulisan khat nasakh untuk diikuti. Istimewanya produk ini adalah seluruh hasil lukisan adalah daripada pelajar USIM dan penulisan khat oleh alumni USIM sendiri. Kit Mahir Khat dan Jawi didatangkan bersama sebuah pensel khat dan pensel warna bertujuan menjaga kelestarian teknik seni khat dan jawi yang harus dikongsi bersama masyarakat. Melalui latihan penulisan ini diharapkan mampu membimbing masyarakat khususnya kanak-kanak untuk memperbaiki serta meningkatkan minat dan pengetahuan untuk menghayati tulisan jawi yang diindahkan dalam bentuk seni khat.
Pada acara yang sama, segmen Wawancara Sofa Putih turut diadakan dengan menampilkan panel oleh Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed, Husaini Mahmur qari bagi album USIM Taranum 5 Juara dan Pengurus Kandungan Kreatif buku Kit Mahir Khat dan Jawi Muhammad Zarihi Nubhan Abdul Rahman. Wawancara bertajuk Produk Seni Menyubur Rohani Menjulang Masyarakat MADANI ini membicarakan penghasilan produk seni yang mesra kepada pelbagai golongan dan kumpulan sasar dan rujukan kepada generasi akan datang. Turut hadir sama dalam majlis pelancaran buku ini adalah pengurusan universiti, Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah, penulis buku, jemaah kreatif yang terlibat dalam penerbitan produk, wakil masyarakat Kuala Pilah dan pelajar USIM.
Disediakan Oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi Dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM