NILAI, 20 JULAI – Kekayaan seni warisan tradisi lampau dititipkan berperingkat daripada generasi kepada generasi adalah usaha yang wajar dihargai. Generasi yang mewarisi dan mengambil alih bidang dan bakat seni adalah petanda bahawa kesenian atau penemuan tradisi mampu diselamatkan dan berjaya dibawa untuk dikenali kepada generasi zaman kini.

Hasrat memelihara kesenian caklempong ini di lestari oleh Universiti Sains Islam Malaysia yang akan diterajui oleh Pusat Kebudayaan USIM.

Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM yang ditemui berkata “USIM Orkestra Diraja Caklempong Negeri Sembilan (USCO) ditubuhkan untuk melestarikan kesenian tradisi Caklempong melalui prinsip pengurusan yang berstruktur dan menerapkan elemen kesepakatan seni budaya dalam negara dan antarabangsa.” Idea yang digagaskan oleh beliau pada tahun 2018 mengambil masa hampir lima untuk diterjemahkan melalui penubuhan secara berstruktur melibatkan tokoh seni terdiri daripada penggiat, pengkaji dan pentadbir budaya.

USCO mempraktikkan  konsep NPP iaitu memupuk (Nuturing), memelihara (Preserved) dan persembahan  (Performance) yang akan dilihat secara inklusif dan dirancang secara tersusun dari segi pelaksanaannya.

USIM selaku peneraju bersama kerajaan Negeri Sembilan di bawah naungan DYMM Yang DiPertuan Negeri Sembilan dengan kerjasama semua rakan strategik seperti entiti awam dan swasta termasuk NGO seni budaya berpotensi untuk  bersama sebagai tenaga penggerak dalam projek khas ini. USCO akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 2023 hingga ke kemuncaknya pada Jun 2025.

Sebagai langkah awal pelan penubuhan tersebut, Pusat Kebudayaan USIM menganjurkan Organization Enhancement Programme  (O-PRO) 56.0:Perancangan Penubuhan USCO yang dihadiri oleh Karyawan Seni USIM Syed Indera Syed Omar (SISO), Prof. Madya Dr. Mohd Azam Sulung (Azam Dungun), Adiguru Pergendangan Mohd Kamrulbahri Hussin, tokoh dan penggiat caklempong Dato’ Kemaru Ibrahim atau Pak Lang, Yuzaimuddin Mohd Yusuf, Razaidy Abd Razak, Izmer Khasbullah, Ikon Seni Mohd Nurhanif Ghozali, pemuzik dan penggubah lagu Mohd Fauzi Mohamad dan koreografer tarian Melayu tanah air Mahmood Ibrahim dan panel antarabangsa daripada Indonesia Al Falah merupakan pensyarah Institut  Seni Indonesia.

Dato’ Kemaru Ibrahim tokoh caklempong Negeri Sembilan melalui perkongsiannya menyatakan bahawa caklempong kini telah mengalami beberapa perubahan mengikut zaman khususnya penggabungan bersama alatan muzik kontemporari seperti akordion dan beberapa lagi, namun peralatan asas tradisional caklempong masih kekal bersama lagu-lagu tradisional Negeri Sembilan.  Beliau masih berharap agar persembahan caklempong dibawa satu aras yang lebih tinggi dan mampu setara dengan penganjuran program bertaraf antarabangsa.

Penganjuran O-PRO Penubuhan USCO pada peringkat awal ini menyentuh tentang beberapa perkara dasar merangkumi pengumpulan lagu-lagu asal persembahan caklempong, pelan lantai pemuzik orkestra, direktori sekolah-sekolah, universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta, NGO seni serta penglibatan penggiat, pengkaji seni dan pentadbir budaya yang berpotensi menyumbang kepakaran dalam pelaksanaan USCO. Turut terlibat dalam sesi perkongsian dan percambahan idea secara maya adalah Pengarah Eksekutif Professional Cultural Center Orchestra (PCCO), Chen Kham Chien.

Rancangan penubuhan USCO turut mendapat maklum balas positif daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui kehadiran Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara, Mohd Radzi Omar. Beliau yang hadir menyempurnakan majlis perasmian O-PRO itu berkata hasrat yang dinyatakan oleh Pusat Kebudayaan USIM wajar disambut dan disokong sepenuhnya kerana gagasan ini akan dijayakan oleh sebuah universiti awam yang berada di negeri tanah beradat. Ujarnya lagi, “kecaknaan USIM terhadap seni warisan bangsa harus dilihat sebagai contoh yang terkehadapan dalam usaha melestarikan kesenian negeri sebagaimana merealisasikan caklempong sebagai identiti muzik Negeri Sembilan  yang mempunyai niche tersendiri.”

O-PRO Perancangan Penubuhan USCO yang berlangsung dua hari tersebut diakhiri dengan majlis penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Kebudayaan USIM.

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat KebUdayaan USIM