Nilai – Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Kursus Penyiaran Media 2016, melibatkan 13 ahli Ejen Berita USIM. Kursus ini diadakan di Pusat Kebudayaan USIM yang menampilkan dua penceramah jemputan iaitu Perancang Bahasa, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), En. Azimin Daud dan Ketua Biro Berita Harian Negeri Sembilan, En. Ziauddin Shahruddin.
Program ini diadakan sejajar dengan penekanan aspek Kemahiran Insaniah dan mengangkat objektif yang lebih tepat iaitu untuk memperkasa kemahiran penulisan berita ‘write up’ selain membina keyakinan diri serta menyemarakkan lagi semangat kewartawanan.
Encik Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM berkata, setiap mahasiswa mempunyai potensi dan kelebihan untuk dikembangkan, tidak mengira latar belakang mahupun bidang yang diceburi.
“Saya melihat program ini mampu melatih peserta dalam membina kekuatan diri sebagai persediaan awal bagi menempuhi dunia realiti alam kerjaya.” Beliau berkata dalam ucapannya semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Kursus Penyiaran Media (KPM’16).
Sesi pertama kursus, ‘Bahasa Media dan Gaya Penulisan Media Cetak’ dipenuhi dengan modul bimbingan yang memfokuskan penguasaan bahasa seperti pemantapan kosa kata, cara penggunaan tatabahasa, perbezaan laras dan ragam bahasa, penerangan kriteria dan etika dalam dunia kewartawanan serta diselitkan juga dengan fakta-fakta konkrit mengenai Bahasa Melayu berdasarkan sumber daripada Dewan Bahasa & Pustaka (DBP).
Sementara itu, En. Ziauddin Shahruddin menerangkan secara terperinci mengenai metodologi penulisan berita dan rencana dengan lebih spesifik di bawah modul yang bertajuk ‘Penulisan Berita Dan Rencana’. Peserta diberi penerangan lengkap mengenai kaedah penulisan kemudian ditugaskan mengarang berita adaptasi daripada contoh skrip wawancara, bertujuan sebagai latihan untuk menguji pemahaman peserta sekaligus mempraktikkan semula ilmu penulisan berita.
“Dalam penulisan berita, salah satu perkara yang wartawan harus jaga ialah penggunaan tanda baca yang betul dan setiap maklumat yang wartawan perolehi mestilah benar-benar sahih dan jelas sumbernya,” tegas beliau.
Majlis diakhiri dengan penyerahan kit kepada peserta sebagai simbolik pelantikan Ejen Berita USIM 2016.
Disediakan oleh:
EB Fadzlil Amri
EB Adnin Razak
Pusat Kebudayaan USIM