16 Februari, Nilai – Usaha meningkatkan penjenamaan dan keterlihatan USIM menerusi program seni budaya, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Majlis Pelantikan Pemimpin Kelab-kelab Seni Budaya USIM dan Tenaga Pengajar Seni Budaya Pusat Kebudayaan USIM bertujuan menyuntik semangat kelab-kelab seni budaya agar lebih proaktif dalam menghasilkan produk seni yang patuh syariah, berkualiti dan bermutu tinggi. Selain itu memperkukuh dan mempertingkat aspek kemahiran berorganisasi serta kredibiliti dalam kepimpinan berpersatuan dan penganjuran program yang memberi impak kepada universiti serta manfaat sejagat.
Penyampaian watikah pelantikan ini diadakan di Panggung Budaya, Pusat Kebudayaan USIM dan telah disempurnakan oleh Karyawan Seni USIM, YBhg. Dato’ Nashrudin Hj Elias atau lebih dikenali sebagai Dato’ Nash. Berkongsi penglibatan dan pengalaman beliau dalam bidang seni, Dato’ Nash menekankan kepentingan ilmu dalam berkarya. Ujar beliau, “ilmu yang dalam perlu dituntut daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang seni”. Tambahnya lagi, ilmu yang diterjemah di dalam karyalah yang menjadikan sesebuah persembahan itu lebih hidup, berjiwa dan dekat dengan penonton”.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohamad Akmal Razali, menyifatkan pelantikan baharu ini sebagai pendekatan konstruktif di mana setiap mahasiswa diberi peluang melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti seni berbudaya. Ini termasuk usaha meningkatkan kemahiran dan kebolehan mahasiswa melalui bakat yang sedia ada disamping membantu mengharumkan nama USIM di pelbagai peringkat.
Dalam ucapannya juga, beliau turut menekankan aspek kebersamaan dan kesatuan diantara ketiga-tiga kelab. Katanya, “Meskipun mempunyai warna baju dan kumpulan seni yang berlainan, Penggerak Seni Berbudaya seharusnya mampu bersinergi bersama dalam menjulang mesej Islam melalui pendekatan Seni Berbudaya yang bersifat kontemporari dan akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat”.
Sementara itu, Najmi Adli Mustaffa, Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif dalam ucapannya mewakili Penggerak Seni Berbudaya menyatakan bahawa seluruh warga budaya seharusnya memahami dan mendalami setiap nilai seni budaya itu sendiri agar mampu dimanfaatkan dalam kehidupan insan sejagat. Ujarnya lagi, “pemahaman terhadap ilmu seni budaya yang diperoleh semasa pengajian itulah yang menjadi nilai tambah kepada setiap Penggerak Seni Berbudaya, yang mana ianya mampu untuk didagangkan diluar sana pada masa yang akan datang”.
Mohd Huzaimi Mohd Zaini yang juga anggota kumpulan Nowseeheart, mewakili tenaga pengajar seni budaya USIM, turut menzahirkan rasa terharu atas kepercayaan yang masih diberikan oleh Pusat Kebudayaan USIM terhadap dirinya. Ketika berkongsi pengalaman 19 tahun berkhidmat sebagai tenaga pengajar, beliau berkata pelbagai ragam, cabaran dan kejayaan telah dilalui. Tambahnya lagi, bedasarkan pengalaman yang terlibat dalam industri muzik, USIM merupakan institusi yang mampu terajui kesenian Islam dan factor ini menjadi pendorong utama beliau masih setia mencurah bakti dan membimbing mahasiswa.
Seramai 40 mahasiswa terdiri daripada tiga kelab seni budaya di bawah naungan Pusat Kebudayaan USIM, iaitu Kelab Penerbitan Kreatif, Kelab Pengurusan Persembahan Seni dan Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni telah dilantik bagi menerajui tampuk kepimpinan bagi sesi akademik 2024/2025. Manakala sebagai nilai tambah aspek kemahiran insaniah mahasiswa, sejumlah 16 Tenaga Pengajar Seni Budaya USIM turut dilantik bagi meningkatkan skil pelajar dan khususnya kumpulan seni budaya USIM.
Disediakan oleh:
Siti Hawa Syafari Ishak
Ejen Berita, Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM