Oleh: EB Syuhada Nazri & EB Syahirah Yusof, Kelab Penerbitan Kreatif Pusat Kebudayaan USIM

NILAI, 10 Dis 2019 – Program Organization Enhancement atau lebih dikenali sebagai (O-PRO) telah berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Disember 2019 bertempat di Panggung Budaya USIM. O-Pro yang diadakan pada kali ini memfokuskan Perancangan Seni Budaya Pusat Kebudayaan USIM bagi tahun 2020.

O-PRO merupakan sebuah salah satu jenama program Pusat Kebudayaan USIM bagi memperkasakan skil serta membentuk nilai kemahiran insaniah mahasiswa sepanjang mereka menyertai Kelab Seni Budaya Pusat Kebudayaan USIM. Selain itu, program O-PRO turut membantu mahasiswa berfikir secara kreatif dalam pengurusan dan pelaksanaan program menerusi kelab masing-masing. Selain itu, ia juga bertujuan mengeratkan silaturrahim antara kelab agar dapat menerapkan nilai kerjasama antara satu sama lain. Program ini melibatkan semua staf dan kelab di bawah Pusat Kebudayaan USIM iaitu Kelab penerbitan kreatif, Kelab Multimedia dan Keusahawanan, Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata ‘mahasiswa perlu meningkatkan kemahiran yang sedia ada, serta perlu lebih aktif dalam menjalankan program yang bermanfaat kepada masyarakat mengikut tiga konsep Seni Berbudaya iaitu hubungan bersama pencipta, seimbang duniawi dan ukhrawi serta manfaat kepada masyarakat yang berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli untuk melahirkan graduan seimbang, holistik dan berkeusahawanan pada masa akan datang.”

Dalam pada itu, program ini turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan En. Mohd Radzi Omar yang berkongsi tentang inovasi dan cabaran penganjuran persembahan seni budaya di Malaysia. Selain itu, Felo Penyelidik Kanan ATMA, Profesor Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin hadir berkongsi mengenai perkembangan dan kelestarian seni budaya khususnya seni  adat di Negeri Sembilan yang harus dikekalkan untuk generasi pewaris.

Perancangan program Seni Berbudaya 2020 telah dibahagikan mengikut empat penjenamaan iaitu program Organization Enhancement (O-PRO) bersifat memperkasakan skil staf dan pelajar, Lestari Seni yang lebih terarah kepada program berbentuk persembahan seni, manaka USIM4Community adalah program libat sama masyarakat serta Persada Ilmu yang bersifat penghasilan produk Seni Berbudaya. Empat penjenamaan ini akan diperkasakan melalui 17 pelan tindakan menerusi empat pelan strategik Pusat Kebudayaan USIM iaitu Pendidikan Seni Budaya, Pengkayaan Sumber Seni, Pembangunan Kemahiran Insaniah dan Pengukuhan Program Seni.

Turut diadakan slot pemurnian takwim Pusat Kebudayaan USIM 2020 yang mana penekanan khusus mengenai pembaharuan dan inovasi baharu dalam aktiviti yang bakal dijalankan pada tahun hadapan.

Seramai 20 orang peserta O-Pro yang terdiri daripada ahli majlis tertinggi setiap kelab turut diterangkan mengenai strategi pengurusan kelab yang lebih sistematik dan teratur. Peserta juga turut dilatih untuk menyediakan kertas kerja yang selengkapnya untuk pembentangan, pengurusan dan perancangan takwim aktiviti. Perbincangan mengenai hala tuju kelab, penyelesaian masalah dan juga penambahbaikan dari semasa ke semasa turut dibahaskan dalam program O-Pro ini.

Majlis perasmian penutup O-Pro telah disempurnakan oleh Karyawan Seni USIM, Syed Indera Syed Omar. Dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa  seluruh pelajar dan staf Pusat Kebudayaan perlu berganding bahu mengekalkan USIM agar terus menjadi Peneraju Seni Berbudaya serta menjadi rujukan bagi universiti lain, di samping mengangkat nama USIM sebagai sebuah Universiti Awam terunggul di Malaysia.