SERDANG, 7 Disember – Usaha membentuk belia berjiwa seni dan berteraskan nilai Islam terus diperkasakan apabila kumpulan nasyid Q-Vou dari Negeri Sembilan dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Nasyid Peringkat Kebangsaan bersempena Festival KEMAS (FesMa ’25) Tahun 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 7 Disember di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor. FesMa’ 25 peringkat kebangsaan menampilkan beberapa acara bertujuan merapatan hubungan dengan masyarakat pelbagai peringkat. Di samping itu, penganjuran bertujuan mempamerkan dan memperkasa komuniti luar bandar, memperkukuh peranan KEMAS, serta memberi ruang kepada usahawan dan komuniti untuk berkembang sebagaimana yang disasarkan KEMAS pada tahun 2026.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu menyaksikan 14 kumpulan nasyid belia dari seluruh negara sebagai platform pembangunan bakat, sahsiah dan kepimpinan generasi muda melalui seni nasyid yang berunsur dakwah dan pembinaan akhlak.

Kumpulan nasyid Q-Vou daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mewakili KEMAS Negeri Sembilan dianggotai oleh 10 orang belia yang diketuai oleh Muhammad Mifzal Muhammad Faruq tampil dengan persembahan bertenaga hasil tiga minggu latihan intensif. Mereka mempertaruhkan dua buah lagu iaitu Meraih CintaMu dan Hidup Berlandas Al-Quran, yang berjaya menambat hati barisan juri. Lagu iaitu Meraih CintaMu yang mengisahkan perjalanan spiritual seorang insan yang bergelut antara iman dan godaan dunia, seterusnya kembali kepada Allah SWT melalui doa, taubat dan muhasabah diri. Manakala Hidup Berlandas Al-Quran menyeru belia agar menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan utama dalam membina kehidupan, kepimpinan dan masa depan ummah.

Menurut Mifzal, pertandingan ini membuka wadah baharu sebagai jaringan belia dan masyarakat dalam membangunkan potensi generasi muda melalui seni berteraskan nilai Islam, sekali gus memperkukuh ukhuwah serta penglibatan komuniti secara bersepadu. FesMa’ 25 dilihat sebagai gelanggang secara inklusif apabila berjaya menarik ramai pengunjung dengan menampilkan pelbagai acara pertandingan peringkat kanak-kanak sehinggga remaja dan belia.  Beliau turut berkongsi harapan agar kejayaan ini bukan sekadar pencapaian semata-mata, sebaliknya menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam arena seni Islam. “Kejayaan bukan penamat, tetapi langkah untuk terus berusaha mencari redha Allah. Semoga usaha ini memberi manfaat dan menjadi inspirasi kepada semua,” ujarnya.

Hasil kejayaan tersebut, kumpulan Q-Vou membawa pulang wang tunai RM5,000.00 berserta piala, manakala tempat Naib Johan dimenangi oleh Soutul Faizin daripada negeri Johor dan tempat Ketiga disandang oleh Halawatun Iman daripada Wilayah Persekutuan.

Pada masa yang sama, kumpulan kompang Perkusirama USIM juga telah mendapat tempat ketiga menerusi Pertandingan Kompang Selawat yang turut diadakan pada hari berkenaa.  Naib Johan pula dimenangi oleh kumpulan Permata Seni Putera Kempadang Makmur manakala johan dirangkul oleh kumpulan Paluan Seri Nista KEMAS Negeri Pahang.

Majlis Perasmian Penutupan FesMa’25 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang dengan tema membawakan tema ‘Memasyarakatkan KEMAS, Merakyatkan Aspirasi Pimpinan.’ Pada majlis tersebut, Negeri Selangor dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan melalui dua kemenangan utama iaitu Hari Potensi KEMAS 2025 serta Juara Keseluruhan Festival Kesenian Islam (i-FEST).

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan