Jakarta, 22 November – Berbekalkan semangat dan keazaman tinggi, kumpulan teater Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) di bawah Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni (KMKS), Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mencatat penyertaan sulung dalam Festival Teater Segara ASEAN 2025 anjuran Fakultas Ilmu Kebudayaan, Universitas Indonesia yang berlangsung di Depok, Jakarta. Seramai 19 orang delegasi USIM menyertai festival ini di bawah pimpinan Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, En. Akmal Razali, dengan sokongan Farazila Che Ani dan Pengarah Projek, Sufiatul Aqilah. Festival ini menghimpunkan penyertaan institusi terkemuka dari Malaysia termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) serta universiti dari Indonesia seperti Universitas Padjajaran dan Universitas Riau.

Festival Segara ASEAN menampilkan beberapa acara pertandingan iaitu pementasan teater, monolog, tarian tradisional dan nyanyian. Menerusi Lomba Teater ASEAN, produksi ATRA KMKS USIM mementaskan naskhah teater Tomyam Berdarah dan berjaya memenangi Produksi Terbaik dan Penataan Bunyi Terbaik yang telah diadakan pada 21 November 2025 Sementara itu, dalam pementasan Monolog Sagara ASEAN, Kelab Kejar Tayang USIM mempersembahkan monolog berjudul Repertoir Hujan#1 berjaya meraih gelaran Johan (Juara 1) dan Aktor Terbaik yang dipentaskan 22 November 2025.
Festival Sagara ASEAN dinilai oleh juri antarabangsa dan tempatan, bagi kategori teater juri terdiri daripad Mr. Bong Billones dari negara Filipina, Bapak Fuad Sindho dari Indonesia dan Mohd Diani Kasan dari negara Malaysia. Manakala monolog terdiri daripada Al Muhtadi dari Indonesia dan Anwar Zulkifli dari Malaysia.
Menurut En. Akmal Razali, penyertaan ini mencerminkan kesungguhan pelajar USIM dalam memperluas jaringan serta memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui penganjuran program berprestij. Kejayaan ini turut diraikan apabila Tenaga Pengajar Seni Budaya USIM, Mohd Arif Taslim atau Aloeng Silalahi dinobatkan sebagai Johan Lomba Monolog, sekali gus membuka ruang kolaborasi lebih luas dan mengangkat nama USIM ke pentas teater antarabangsa.

Kejayaan ini membuktikan keunggulan ATRA USIM dalam bidang seni persembahan serta memperkukuh reputasi universiti di peringkat serantau, di samping memberikan pengalaman berharga kepada pelajar dalam penglibatan pertandingan dan program antarabangsa.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan