NILAI, 31 Mei 2025 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta sejarah bersempena ulang tahun ke-25 penubuhannya dengan penganjuran Malam Kemuncak Suara Rumpun Puisi Nasional (SERUMPUN) 2025 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Malam tersebut turut menjadi acara kemuncak bagi pengumuman keputusan pertandingan dan penyampaian hadiah dua sayembara utama yang menjadi teras SERUMPUN, Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) dan Sayembara Penulisan Puisi Jawi (SePUJA). Kedua-dua sayembara ini merupakan inisiatif berimpak tinggi dalam usaha memperkasa pelestarian bahasa dan sastera Melayu di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Berbeza dengan penganjuran tahun lalu yang berkonsepkan persembahan solo, SePENA 2025 memperkenalkan konsep berpasangan (duo) sebagai pembaharuan segar yang menambah dinamik persembahan serta keserasian deklamasi puisi.
Menurut Naib Canselor USIM, YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, SERUMPUN menjadi manifestasi kesungguhan USIM untuk menjadi pemangkin dalam mengangkat sastera sebagai wahana penyatu bangsa. “SERUMPUN bukan sekadar pentas puisi, tetapi medan kreatif yang memperkukuh bahasa Melayu sebagai wahana budaya dan ilmu, yang menyatukan suara pemikiran dan bakat dari pelbagai lapisan masyarakat,” katanya dalam ucapan alu-aluan malam tersebut.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani turut menyifatkan program seperti ini sebagai bukti bahawa universiti bukan sahaja tempat pengembangan ilmu, malah medan membina jati diri dan nilai budaya dalam kalangan generasi muda.
“Kita percaya bahawa pelestarian budaya harus bermula dari institusi ilmu, dan USIM telah memainkan peranannya dengan cemerlang melalui penganjuran SERUMPUN ini,” ujar beliau sebelum merasmikan acara malam kemuncak tersebut.
SePENA tahun ini mencatatkan sejumlah 10 universiti bagi kategori tempatan dan 3 universiti kategori antarabangsa dengan 17 kumpulan peserta duo mewakili kategori pelajar tempatan dan empat orang peserta mewakili kategori pelajar antarabangsa. Manakala, seramai 45 orang peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah seluruh negara menyertai Sayembara Penulisan Jawi (SePUJA).
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari yang turut hadir sebagai rakan kerjasama strategik menyifatkan SERUMPUN sebagai platform bermakna dalam melahirkan para siswa berbakat, berketerampilan, bijaksana dan utuh jati diri. “DBP komited untuk terus berkolaborasi dengan USIM dalam menyemarakkan sastera kebangsaan melalui program seperti SERUMPUN yang memiliki nilai pendidikan dan kebudayaan tinggi,” katanya ringkas.
Peserta daripada negara Indonesia, Muhammad Rizki Waluya, daripada USIM dinobatkan sebagai Johan Kategori Antarabangsa Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) menerusi puisi Kami Anak Zaman Ini karya Usman Awang. Beliau turut meraih Anugerah Sembah Kreatif. Manakala, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Omar Abdulsamad (USIM) dan Ahmad Azzam Dhiaulhaq (UIAM) bagi kategori Antarabangsa.
Sementara itu bagi kategori tempatan pula, pasangan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Aiman Afiq bin Ismail dan Elvienie Petrus, merangkul gelaran Johan melalui puisi Keangkuhan karya Siti Zainon Ismail. Naib Johan dimenangi oleh Muhammad Nur Ikhwan bin Abdul Kassim dan Afiq Fikri bin Mohd Nizam (UPSI), manakala tempat ketiga disandang oleh pasangan dari UiTM, Muhammad Zulfadli Redzwan bin Sabri dan Nur Amira Syazwani binti Mohd Rozaimi.
Bagi Sayembara Penulisan Puisi Jawi (SePUJA) pula, pelajar Sekolah Agama Menengah Bestari, Wan Muhammad Adam bin Wan Khairul Azli, dinobatkan sebagai Johan, mengatasi penyertaan seluruh negeri. Naib Johan dimenangi oleh Siti Noralia binti Abdullah dari SMK Dato’ Undang Abdul Manap, manakala tempat ketiga diraih oleh Mohamad Amir Adeeb bin Amir Sabri dari SMKA Tun Juhar Sandakan. Lima lagi peserta menerima hadiah saguhati.
Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai, piala iringan dan naskhah buku sumbangan daripada rakan kerjasama ITBM, PENA dan naskhah al-quran daripada Nasyrul Quran.
Malam kemuncak SERUMPUN yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM telah mendapat sambutan menggalakkan dari pelbagai pihak dengan dihadiri hampir 300 penonton. SERUMPUN turut disiarkan secara langsung menerusi facebook rasmi Pusat Kebudayaan USIM dan Youtube rasmi USIM TV.
Disediakan oleh:
Alya Afiqah Adnan
Unit Berita SERUMPUN 2025
Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM.