3 Mei, PATTANI– Kumpulan nasyid Intracksee dari Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih tempat ketiga dalam pertandingan Da’i Voice Thailand ASEAN Season 7 yang berlangsung pada 2 dan 3 Mei 2025 di Prince of Songkla University, Thailand.

Pertandingan anjuran Pattani Provincial Office, Ministry of Tourism and Sport of Thailand, serta Prince of Songkla University disertai oleh 17 kumpulan dari negara ASEAN. Daripada jumlah yang bertanding di peringkat saringan, lapan kumpulan berjaya mara ke peringkat akhir.

Kumpulan Intracksee yang dianggotai oleh lima orang ahli dan diketuai oleh Muhammad Sofha Hafizin Amirul Farhan mempersembahkan dua buah lagu iaitu “Bicara Kata” dan “One Big Family”. Lagu “Bicara Kata” menyampaikan mesej tentang kepentingan menjaga lisan dan tutur kata yang mencerminkan akhlak serta keperibadian seseorang. Sementara itu, lagu “One Big Family” menyentuh tentang perpaduan sejagat, menyeru kepada kasih sayang dan keharmonian antara bangsa dan budaya. Penyatuan dalam satu rumpun negara juga amat signifikan agar negara kekal aman dan harmoni.

Menjalani masa latihan hampir sebulan, Kumpulan Intracksee berjaya mempamerkan persembahan yang bertenaga dan menyentuh emosi. Pada pertandingan tersebut, Intracksee berjaya meraih tempat ketiga, membawa pulang piala kemenangan, wang tunai, dan sijil penghargaan. Tempat pertama disandang oleh kumpulan Simfoni Arkana dari Malaysia, manakala tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Aman Damai dari Thailand.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohd Salehudin Sukor menyifatkan bahawa penyertaan USIM ke pertandingan Da’i buat kali kedua memperlihatkan peningkatan dari aspek keunikan persembahan dan persediaan kumpulan nasyid untuk melangkah lebih jauh. Dua kumpulan nasyid USIM berjaya mara ke peringkat akhir dan ini menunjukkan petanda positif terhadap keupayaan USIM untuk terus menyerlah dalam arena kesenian Islam antarabangsa.

Menurut ketua kumpulan Muhammad Sofha Hafizin, kejayaan itu amat bermakna buat kumpulan Intracksee dan Pusat Kebudayaan USIM yang sentiasa menyokong dan memberi peluang untuk mereka menguji kemampuan dan akhir mencipta nama di pentas ASEAN.

“Alhamdulillah syukur, walaupun kami tidak menjangkakan akan berada dalam kelompok tiga terbaik memandangkan semua finalis memberi saingan hebat, kami amat berterima kasih atas penghargaan ini dan berharap dapat menyertai pertandingan ini lagi pada masa akan datang,” katanya.

Manakala kumpulan Q-VOU yang turut menyertai pertandingan ini memenangi hadiah sagu hadiah sagu hati.

Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan kemampuan mahasiswa USIM dalam bidang kesenian Islam, malah turut memartabatkan seni nasyid sebagai medium dakwah yang efektif di peringkat serantau.

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatii
Pusat Kebudayaan