Oleh :
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM

NILAI, 26 September 2020 – Sebagai usaha menyokong penghasilan produk Seni Berbudaya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melantik 28 orang alumninya sebagai Ikon Seni USIM. Mereka yang dilantik sebagai Ikon Seni telah memenuhi elemen dan kriteria Model Seni Berbudaya dan menunjukkan peranan mengikut tahap-tahap sebagai koordinator dan mentor. Ikon Seni yang dipilih terdiri daripada empat bidang kepakaran iaitu persembahan seni, keusahawanan produk seni dan budaya, penyiaran dan kewartawanan serta pengurusan seni.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata dalam ucapannya kelahiran Ikon Seni merupakan model terbaik prosumer yang merujuk kepada individu yang bertindak sebagai pengeluar, pengguna dan pada masa sama boleh menghasilkan pendapatan. Konsep prosumerisme ini tidak terbatas kepada usahawan semata, sebaliknya dalam konteks ini turut menjadikan kemahiran bakat dan seni sebagai sumber pendapatan tambahan walau di kalangan mereka mempunyai kerjaya tetap. Beliau turut menambah bahawa USIM melihat pelantikan ini dalah satu pencapaian di mana alumni yang terserlah dalam bidang seni budaya diiktiraf dan sehingga kini mereka masih mempraktikkan dan mengembangkan dalam kerjaya mereka secara tidak langsung. Usaha dan inisiatif ini melayakkan mereka untuk digelar penggiat muda yang berilmu dan berupaya berkongsi kepakaran bersama komuniti dan masyarakat secara umumnya. “Ikon Seni USIM berperanan penting menanamkan pemikiran job creator atau pencipta pekerjaan. Dunia pekerjaan hari ini sangat mencabar dan banyak memberi kesan kepada mahasiswa. Cabaran semasa tempoh pandemik COVID-19 di mana mahasiswa terpaksa melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk menghadapi alam selepas tamat belajar. Hanya mereka yang kreatif, fleksibel atau berani meneroka bidang baharu sahaja akan mampu mengharungi. Justeru dengan adanya bantuan dan tunjuk ajar daripada Ikon Seni sekalian sedikit sebanyak boleh membantu mahasiswa menghadapi cabaran tersebut”. Dr. Rushdan mengakhiri ucapannya perasmiannya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed dalam ucapan aluannya telah menggariskan beberapa fungsi lantikan Ikon Seni USIM antaranya menerusi penglibatan dalam penerbitan seni, penerbitan digital, keusahawanan seni, USIM Street Dakwah, jelajah sukarelawan, syarahan seni, prosumerism, persembahan seni dan showcase seni sejajar dengan empat penjenamaan utama Pusat Kebudayaan USIM USIM iaitu Persada Ilmu, USIM4community, Organization Enhancement Program (O-Pro) dan Lestari Seni. Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa “Alumni adalah sayap penting untuk membawa mesej bahawa seni adalah suatu pendidikan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Ianya perlu diterjemahkan dengan cara yang baik termasuk melalui pelaksanaan aktiviti yang memberi impak. Ciri-ciri yang ada ini melengkapi hasrat Universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten dan bersifat holistik.

Bagi pengusaha perniagaan restoran Tengku Helmy Farhan Raja Za’aim, berucap mewakili ikon seni USIM yang dilantik berkata, “Sesungguhnya majlis pelantikan ikon seni ini merupakan sebuah amanah berat yang harus dipikul oleh kami semua. Diharapkan semua Ikon Seni dapat bersama-sama menggalas tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin dan mampu menyumbangkan semula terbaik kepada universiti”. Beliau turut menambah menerusi bidang perniagaan alumni mampu memberi bimbingan kepada mereka yang minat berkecimpung dalam bidang ini. Tengku Helmy kini sudah lima tahun mengusahakan perniagaan restoran ikan patin di Temerloh dengan jenama Kancil Raja Patin dan kian gigih berusaha mengukuhkan jenamanya ke seluruh negara dan bergiat aktif dalam persembahan dikir barat.

Manakala Khairil Kamarudin, salah seorang Ikon Seni USIM yang baharu dilantik berkata bahawa pelantikan adalah satu penghargaan besar bagi dirinya dan bersedia menggalas amanah yang diberikan dan tidak akan jemu untuk menyumbang tenaga kepada USIM. Perkongsian mengenai kerjayanya sebagai penulis dan pegawai pemasaran buku remaja serta pengalamannya bergiat aktif dalam seni lakonan pentas akan menjadi fokus utamanya dalam satu sesi perkongsian yang akan diadakan bersama mahasiswa USIM.

Sesi pelantikan Ikon Seni disempurnakan dengan menandatangani surat persetujuan penerimaan lantikan sambil disaksikan oleh Pengarah Pusat Kebudayaan USIM dan Prof Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani. Majlis pada petang itu turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian lagu oleh dua generasi kumpulan nasyid Intracksee yang didendangkan oleh Ikon Seni USIM. Seramai 70 orang tetamu termasuk ahli keluarga Ikon Seni yang turut menyaksikan pelantikan yang disiarkan secara langsung melalui akaun rasmi facebook Pusat Kebuadayan USIM sebagaimana yang ditetapkan oleh kerjaaan bagi pematuhan Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).