18 Ogos 2017, Bangi – Seiring dengan era kompetatif dengan lebih dinamik, satu konsep baharu diperkenalkan iaitu wacana dan konsert dengan meninovasikan penyampaian ilmu secara diskusi dan persembahan seni budaya yang dikenali WAKON secara ringkasnya. Sebagai pengenalan WAKON, Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Institut Tamadun Alam Melayu (ATMA) dan Akademi ND Lala menganjurkan WAKON Seni Budaya: Unsur Sinkretik Dalam Persembahan Lagu Tradisional: Antara Cabaran dan Inovasi yang berlangsung di Panggung Seni UKM. WAKON yang pertama kali diadakan ini membariskan panel utama Tn Haji Mesran Moh Yusop, Timbalan Ketua pengarah Jabatan warisan Negara, Prof Madya Datuk Paduka Dr. Rosli Saludin pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, dan ratu tradisional Noraniza Idris bagi membicarakan tentang unsur-unsur sinkretik dalam lagu rakyat dan cabaran semasa yang perlu dihadapi dan ditangani oleh pemain industri.
Selain itu WAKON pada kali ini turut dimeriahkan oleh panel jemputan yang terdiri daripada artis, komposer dan budayawan tanah air yang tidak asing lagi seperti Datuk Suhaimi Md Zain (Pak Ngah), Datuk Dr. Johari Salleh, Roslan Madun, Dato’ Ibrahim Ghafar, Dato’ Aripin Said, Fauzi Marzuki dan Syed Indera Syed Omar. Panel-panel jemputan yang hadir turut memberi pandangan tentang isu yang dibicarakan sebagai maklumat tambahan kepada khalayak yang hadir. WAKON ini juga dibahagikan kepada tiga pusingan sesi diskusi beserta persembahan selingan nyanyian oleh SISO Kopratasa, Roslan Madun dan Linda Mamat dengan diiringi pemuzik ARTIS BUDAYA UKM. Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan, beliau mengatakan bahawa WAKON diharap memberi wadah baharu dalam penyampaian konsep wacana dan persembahan seni yang menjadi rujukan serantau pada masa akan datang, ujar Ismail Ahmed turut berperanan sebagai moderator WAKON pada kali ini.
Menurut Hazelina Ghazaly, Ketua Pusat Kebudayaan Universiti, UKM selaku penganjur bersama, mengharapkan konsep WAKON yang julung-julung kalinya diperkenalkan ini dapat berterusan dan diaplikasikan secara meluas di rantau ini. Dengan wujudnya WAKON bakal menarik minat masyarakat untuk berdiskusi secara ilmiah dalam situasi yang lebih segar dan santai. Malah diharapkan kerjasama rakan strategik khususnya bersama media untuk memantapkan dari segi aktiviti seni dan ilmiah dapat dimantapkan dan berterusan dengan harapan agar suatu hari nanti WAKON diangkat oleh media dengan mendapat liputan dan slot rakaman di TV.
Tetamu kehormat yang hadir pada petang itu YB Budiman Mohd Zohdi Parlimen Sungai Besar merangkap Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Prof. Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia. WAKON seni budaya berlangsung pada 18 Ogos 2017 dengan jemputan secara eksklusif mendapat sambutan baik dan menggalakkan dari pelbagai pihak khususnya budayawan dan karyawan tanah air dengan dihadiri seramai 100 peserta.
Oleh :
Rozihani Mohamad
Pegawai Kebudayaan
Pusat Kebudayaan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)