NILAI, 27 Mei 2025 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus komited dalam memperkasa potensi pelajar sekolah menerusi penganjuran Wacana Interaktif Penulisan Puisi anjuran Kelab Penerbitan Kreatif (KPK) dan Pusat Kebudayaan USIM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Program ini diadakan sebagai salah satu pengisian istimewa sempena Suara Rumpun Puisi Nasional (SERUMPUN) yang bertujuan menyemarakkan semangat daya sastera dan memperkasa kreativiti generasi muda melalui medium puisi.

Wacana Interaktif berlangsung di Galeri Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM ini telah menghimpunkan 44 pelajar dari sekolah-sekolah sekitar negeri sembilan dengan pengisian yang dirangka khusus untuk memperkenalkan peserta kepada dunia penulisan puisi secara menyeluruh.

Wacana Interaktif tersebut dijayakan oleh Intan Marhayu Rahman yang merupakan Johan pertandingan Sayembara Puisi Kemerdekaan peringkat Kebangsaan Tahun 2004 (SDPK), juga pakar bidang yang banyak bergiat aktif dalam seni sastera. Antara fokus utama bengkel ini adalah pengenalan puisi, teknik asas penulisan puisi, serta penggunaan gaya bahasa puitis yang mampu memberikan impak mendalam kepada pembaca dan pendengar.

Penceramah Wacana Interaktif Penulisan Puisi, Puan Intan Marhayu memberi perkongsian berkenaan dengan penulisan puisi kepada peserta.

“Kami ingin mencungkil dan memperkasa potensi pelajar dalam bidang penulisan kreatif, khususnya puisi yang mampu menjadi wadah ekspresi emosi, nilai dan pemikiran generasi muda,” ujar Pengarah Program SERUMPUN, saudari Aisya Nazirah Yunus.

Beliau turut menambah bahawa bengkel ini bukan sekadar menyampaikan teori semata-mata, bahkan turut memberi penekanan kepada aspek praktikal melalui aktiviti penulisan puisi secara berkumpulan. Karya tersebut kemudiannya dibacakan dalam sesi pembacaan puisi terbuka, sekali gus melatih keyakinan diri dan kebolehan berkomunikasi.

Lebih menarik, peserta turut diminta untuk menghasilkan karya mereka secara berkumpulan melalui latihan menulis puisi. Di akhir sesi slot pengisian, peserta berpeluang mempersembahkan karya setiap kumpulan secara solo dan duo.

“Saya rasa bengkel ini sangat menyeronokkan dan membuka mata saya tentang keindahan puisi. Jika saya di kolej mungkin kurang pendedahan tentang penulisan ini kerana tiada dalam subjek, namun hari ni saya belajar banyak ilmu baru tentang penulisan puisi.” Ujar Rais Hazeem, salah seorang peserta bengkel puisi.Tambahnya lagi, ini adalah kali pertama beliau menyertai bengkel seperti ini dan berharap akan ada lebih banyak bengkel seumpama ini bagi memberi galakan kepada pelajar untuk lebih minat dalam penulisan sastera khususnya puisi.

Dalam pada itu, Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM, Rozihani Mohamad berkata, “program seperti ini diadakan sebagai usaha melahirkan pelapis penulis muda yang memahami sastera dan berbakat menghasilkan karya yang berkualiti.’’ Beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang dengan pembaharuan modul yang lebih sistematik untuk pelajar dan guru sekolah.

Selain itu, wacana ini turut berperanan sebagai platform merakyatkan seni puisi serta memperkukuh jaringan sastera antara pelajar universiti dan pelajar sekolah menengah, selaras dengan hasrat untuk melahirkan generasi yang celik sastera dan berfikiran secara kritis. Di samping itu, turut berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan masyarakat luar, khususnya dalam memperkasa seni, bahasa dan warisan intelektual bangsa.

Peserta membentangkan latihan yang diberikan oleh penceramah.

SERUMPUN yang berlangsung 27 hingga 31 Mei dengan pelbagai pengisian menarik antaranya Sayembara Penulisan Puisi Jawi (SePUJA), Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA), Bicarawara Sasterawan Negara bersama Karyawan Muda serta Wacana Interaktif Pemantapan Gaya Deklamator dan Teknik Penjurian.

Peringkat akhir SePENA dan malam kemuncak SERUMPUN disiarkan secara langsung menerusi facebook dan youtube rasmi Pusat Kebudayaan USIM.

Disediakan oleh:

Alya Afiqah Adnan dan Nurul Hidayah Asril
Unit Berita SERUMPUN 2025
Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM.