Nilai, 29 Julai 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) rangkul 3 anugerah sekaligus dinobatkan sebagai Naib Johan dalam Festival Teater Negeri Sembilan (FTNS) yang berlangsung pada 24 hingga 29 Julai 2017 yang disertai oleh lapan kumpulan anak muda dari pelbagai kumpulan aktivitis dan Institusi Pengajian Tinggi.

USIM yang dianggotai oleh kumpulan ATRA Kelab Urus Setia Kesenian Pelajar dibawah Pusat Kebudayaan disertai oleh 20 orang tenaga produksi. Karya klasik Sophocales terjemahan Ahmad Yatim berjudul Antigone menjadi pilihan ATRA untuk dipersembahkan secara tersendiri dengan menggarapkan elemen kontemporari khususnya aspek pengarahan dan mengikut kesesuaian semasa. Naskhah asal karya ini ditulis pada tahun 441 sm berkisarkan perebutan kuasa dalam institusi keluarga. Sikap angkuh mempertahankan kuasa diakhiri dengan tragedi yang menyayat hati.

Saudara Mior Rizal, pelajar tahun 3 jurusan Syariah dan Undang-Undang buat pertama kalinya diberi tanggungjawab sebagai pengarah teater ini. Beliau merasakan pengalaman ini amat berharga kerana tidak menyangka bahawa latihan yang dijalankan hampir 2 bulan membuahkan hasil membanggakan apabila dinobatkan Naib Johan bagi festival kali ini.

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dirangkul oleh Aloeng Silalahi yang merupakan Tenaga Pengajar Kumpulan ATRA dan anugerah Sinografi Terbaik menjadi milik USIM.  Naskhah ‘Dilarang Menyanyi dibilik Mandi oleh kumpulan Kertas Negeri Sembilan dari Politeknik Nilai menjadi Johan dan turut merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Pilihan Juri manakala tempat ketiga dimenangi oleh persatuan Karyawan Negeri Sembilan dengan naskhah berjudul ‘Aku Dihukum Kerana Cinta’.

Sementara itu Pengarah Pusat Kebudayaan USIM Ismail Ahmed berkata, penyertaan USIM pada kali ini sebenarnya lebih menumpukan kepada pendedahan dan pengalaman dalam gerak kerja produk teater kerana tenaga produksi ATRA hampir keseluruhannya merupakan ahli baharu dan walau pun latihan agak singkat namun berkat kesungguhan mereka memberi kesan positif dan nasib menyebelahi USIM.

Festival yang berlangsung selama enam hari ini diadili oleh 3 orang panel juri yang berpengalaman luas dalam bidang teater. Mereka terdiri daripada Hilmi Mohamad sebagai ketua juri dan Abdul Razak  Mohd Said dan juga Badrul Munir Md. Isa.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan merupakan acara dwi tahunan yang dilaksanakan bagi memilih kumpulan terbaik ke peringkat kebangsaan sempena Festival Teater Kebangsaan yang bakal diadakan pada tahun hadapan.

Acara penutup dan  penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah JKKN Negeri Sembilan En. Mohd Radzi Omar.

 

Disediakan oleh:
Pn. Rozihani Mohamad
Pusat Kebudayaan USIM