Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM

16 November, Sintok: Anugerah Seni Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) bagi sesi tahun 2020/2021 menyaksikan 12 jenis anugerah termasuk beberapa anugerah baharu diperkenalkan bagi menghargai pentadbir budaya, tokoh seni budaya dan agensi-agensi yang terlibat dalam kerjasama program anjuran MAKUM.

Anugerah Seni MAKUM (ASM) kali ini telah menyampaikan anugerah Khas MAKUM kepada Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ismail Ahmed sebagai penerima anugerah Gendang Sari Utama MAKUM yang mengangkat beliau sebagai Tokoh Seni Budaya MAKUM. Anugerah ini diberi kepada seorang pentadbir budaya yang terserlah kepimpinannya dan mampu dijadikan contoh dan rujukan pegawai MAKUM dalam mentadbir seni budaya Universti Awam. “Anugerah berprestij ini mampu menginspirasi seluruh kerabat MAKUM dan sahabat budaya di luar sana untuk mencipta nama dan kejayaan di mata dunia. Sebagai pentadbir budaya kita harus menguasai pelbagai bidang ilmu dalam merancang, melaksana dan memperkasa strategi agar kebudayaan dipandang tinggi oleh masyakarat, selain mencipta ekosistem budaya yang mempu berperanan dan dirasai denyut nadinya kepada masyarakat. Ini kerana kebudayaan juga menyumbang dan mampu memperkasa modal insan”. Ismail Ahmed ketika menyampaikan ucapan pebagai penerima anugerah tersebut. Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor serta pengurusan tertinggi USIM di atas sokongan terhadap program Seni Berbudaya USIM.

Buat kali keduanya pada tahun ini ASM diadakan secara dalam talian yang disiarkan secara langsung menerusi facebook dan YouTube MAKUM yang dikendalikan oleh sekretariat MAKUM Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia dilihat lebih berprestij. Menerusi ucapan perasmian ASM oleh Timbalan Naib Canselor (HEP dan Alumni) UUM, Prof. Madya. Dr. Hendrik Lamsali berkata “MAKUM telah mengorak langkah dengan sedaya mencipta suasana baharu dengan pembudayaan transformasi digital. Walaupun berdepan dengan keadaan yang sukar semasa Covid-19, namun barisan pentadbir seni, mahasiswa dan penggiat seni berjaya mengadaptasi teknologi untuk melaksana program seni budaya. Perkara ini selari dengan dengan kehendak Kementerian Pengajian Tinggi yang mahukan aspek pendigitalan pendidikan diterapkan dalam semua proses pengajaran dan pembelajaran”. Tambah beliau merangkap Pengerusi MAKUM.

Dalam pada itu bagi kategori pelajar, Kelab Seni Budaya USIM dan Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) penerima Anugerah Gambang Mustika MAKUM. Anugerah ini diberikan kepada sebuah kumpulan, badan-badan, kelab atau persatuan kesenian dan kebudayaan yang mempunyai rekod penganjuran dan pencapaian terbaik di pelbagai peringkat. Manakala Muhammad Fadhil Arif dan Intan Aika Amira Azhari memperoleh Anugerah Bonang Emas MAKUM yang dianugerahkan kepada tokoh pelajar yang bergiat aktif serta menyerlah dalam aktiviti seni budaya diperingkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Kedua anugerah ini diberikan kepada semua Universiti Awam terlibat.

Bagi kategori staf USIM, Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan, Mohamad Akmal Razali diberi Anugerah Gendang Sari MAKUM, anugerah ini disampaikan kepada semua ketua pusat/unit kebudayaan Universiti Awam. Anugerah Lambang Sari MAKUM pula dianugerahkan kepada staf pelaksana yang membantu pegawai-pegawai MAKUM dalam melaksana program dan penerima daripada USIM diperolehi Farazilah Che Ani, Muhamad Mursyid Hairuddin dan Muhammad Alif Omar Abdul Jalil. Bagi Anugerah Kenong Budi MAKUM iaitu penghargaan kepada individu yang telah bersara, bertukar dan berhenti yang pernah memberikan sumbangan dan berjasa ke arah organisasi dan MAKUM diberikan kepada Nur Azmi Tan Nur Azizi Tan. Kesemua anugerah ini juga diberikan kepada semua Universiti awam.

MAKUM turut menganugerahkan penghargaan kepada tokoh aktiviti seni yang banyak memberi sumbangan dan bergiat aktif dalam memartabatkan seni budaya di setiap negeri. Bagi Anugerah Tokoh Budi Setahun Segunung Intan Negeri Sembilan, USIM telah mengangkat Allahyaham Mohd Shah Abdul Rahman atau tekenal dengan gelaran Pak Lang Bongai. Pak Lang bergiat aktif dan terlibat secara langsung dalam menghasilkan rakaman lagu Bongai bersama Pusat Kebudayaan USIM. Anak jati tanah beradat ini dilahirkan pada tahun 1939 di Kampung Tengkek, Batu Kikir, Negeri Sembilan telah terlibat dengan persembahan Bongai sejak tahun 1953. Berusia 80 tahun dan aktif bersama kumpulan Bongai Seri Tengkek semasa hayatnya dan Pak Lang merupakan satu-satunya tokoh Bongai negara yang memperjuangkan lagu rakyat Bongai. Beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Seni Negeri Sembilan dan telah menghembuskan nafas terakhir pada 1 April 2021.

Penghargaan MAKUM turut disampaikan kepada beberapa entiti kerajaan termasuk agensi dan pihak NGO yang telah banyak menyumbang dan menyokong usaha pelaksanaan program MAKUM antaranya, Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Joe Sidek Production dan Cultural Economy Development Agency (CENDANA) telah diberi anugerah Slenthem Utama MAKUM. Penglibatan pihak industri amat memberi impak kepada MAKUM sebagai lonjakan pengembangan bakat dan kemahiran pelajar dan kebolehpasaran graduan.