Oleh: Rozihani Mohamad
Pusat Kebudayaan USIM
Kajang, 17 April 2019 – Usaha melestarikan seni budaya merangkumi pelbagai cara dan implementasi. Di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) konsep Seni Berbudaya atau seni yang boleh diamalkan diterapkan secara inklusif agar ianya dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Perkara ini diterjemahkan dalam penganjuran program yang bersifat wacana atau perkongsian ilmu sastera bersama cendekiawan. Program Sembang Pohon Keranji (SPK) 4.0 telah masuk tahun ke empat penganjurannya dan pada kali ini membawa tema “Bersuaralah” sebagai satu usaha untuk menekankan kepentingan kebebasan bersuara sebagai rakyat Malaysia. Ini juga selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyantuni Sasterawan Negara di Universiti.
Pengarah Pusat Kebudayaan USIM berkata “hasrat untuk melaksanakan konsep “bersuaralah” sebenarnya memberi cabaran besar kepada PK USIM kerana tetamu yang hadir akan melalui zon tidak boleh bersuara sehingga program bermula. Apa yang cuba ditonjolkan adalah situasi di mana suara kita disekat untuk menyampaikan sesuatu dan pastinya kita akan memberontak. Begitulah sebenarnya konsep kebebasan bersuara yang selama ini dilaungkan oleh karyawan seni sastera dalam penulisan mereka. Alhamdulillah konsep berjaya dilaksanakan dan mendapat maklum balas serta kerjasama yang baik kalangan mereka yang hadir.” Beliau yang ditemui selepas program tersebut.
Penganjuran SPK pada kali ini mempunyai keunikan tersendiri dengan menampilkan slot khas bicara Sasterawan Negara yang membawa topik Aspek Kebebasan Bersuara dalam Sastera Melayu oleh Profesor Em. Muhammad Haji Salleh. Menurut beliau, tiada satu perkataan kebebasan dalam Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin. Ini kerana peradaban Melayu yang wujud pada zaman dahulu adalah bersandarkan ketaatan dan kepatuhan kepada pemerintah. Namun kebebasan ini wujud melalui pemikiran mereka yang bijaksana yang dihasilkan menerusi penulisan. Beliau juga ada menjelaskan bahawa bangsa yang pintar adalah bangsa yang banyak berfikir dan berani menyatakan hasrat yang ingin disampaikan dan menegaskan bangsa Melayu telah mencipta kemerdekaan dan kebebasan dengan cara yang tesendiri.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Madya Dr. Rushdan turut menyifatkan bahawa hubungan USIM dan SN Prof. Em Muhammad Haji Salleh telah terjalin sejak sekalian lama dan program SPK kali ini lebih bermakna apabila dihadiri oleh ramai penggiat seni khususnya warga sastera tanah air.
Acara pada petang itu dimulakan dengan dendangan medley lagu puisi karya Allahyarham Zubir Ali iaitu penantian, doa, balada Seorang Anak Kecil dan Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang oleh Adiwangsa Sukma dan tim Vocal Ensemble USIM. Persembahan baca puisi diteruskan dengan pelajar antarabangsa USIM Ahmad Abdallah Ahmed Alswlmeh dari negara Jordan, Adeyemo Wale Lateef (Nigeria) dan Moshood Morwan Abiola (Nigeria). Ketiga-tiga mereka menyampaikan puisi bertemakan Freedom of Speech yang dibaca dalam bahasa ibunda masing-masing dan diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris. Kehadiran petang itu diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan dan turut mendeklamasikan puisinya berjudul Cerita Masjid Baharu. Tokoh korporat tanah air Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah Che’ Othman juga mendeklamasikan puisi dan diselangi dengan penyair terkenal Datuk Rahman Shaari. Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad tidak ketinggalan menyampaikan puisi berjudul Hari-hari Tak Pernah Panjang karya Datuk Rahman Shaari. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM Dr. Rushdan Mohd Jailani pula menyampaikan puisi Akal Nurani, karya Shamsudin Othman. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan, Norfazrin Mohd Noh, mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi.
Naib Canselor USIM, Dato’ Dr Musa Ahmad berkata “program Sembang Pohon Keranji buat pertama kalinya telah diadakan pada 9 Oktober 2016, bersempena dengan pelancaran buku Puisi Maal Hijrah yang diadakan bertujuan untuk menghayati pengkisahan penghijrahan junjungan Nabi Muhammad S.A.W. dan saya lihat program ini wajar diperluaskan untuk kita terus menyantuni candekiawan Sasterawan Negara melalui mesej Seni Berbudaya.” Ujar beliau .
Pada majlis tersebut, USIM turut mengiktiraf Roslan Madun, pelantun lagu rakyat Malaysia yang tersohor yang telah mendapat anugerah Raja Syair Nusantara. Penghargaan USIM kepada Roslan Madun telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Dato’ Dr Musa Ahmad bersama Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Dr. Rushdan Mohd Jailani, Prof Em. Muhammad Haji Salleh dan Ismail Ahmed. USIM turut menghadiahkan beliau sebuah potret lukisan untuk diabadikan sebagai kenang-kenangan hasil karya pelukis tanah air, Pak Aris Aziz. Dalam pada itu, Naib Canselor juga melancarkan video Leads TV yang diterbitkan oleh Pusat Kebudayaan USIM yang memuatkan dua klip video lagu syair beliau iaitu syair Setia Kawan dan Syair Budiman yang dilagukan dalam irama Perantau manakala syair Setia Kawan pula menggunakan irama Siti Zubaidah. Ledas TV merupakan sebuah saluran Youtube Pusat Kebudayaan yang mengandungi empat segmen iaitu Leads Iqra’, Leads komuniti, Leads Budaya dan Leads Inovasi. Semua figura Leads TV menggunakan fasiliti rakaman di Panggung Rakaman Pusat Kebudayaan USIM. Roslan Madun anak jati Pahang dihormati dan dikenali penggiat seni tanah air hasil sumbangannya memperjuangkan irama syair sehingga terkenal di nusantara. Beliau yang pernah berkolaborasi dengan USIM dalam penganjuran Syair Alam Melayu, rakaman rujukan syair bagi pertandingan syair peringkat kebangsaan anjuran USIM dan Jabatan Warisan Negara.