9 September, Bachok – Konvensyen Pemuisi Sedunia (KONPES) menyaksikan anjakan baharu bersesuaian dengan penyertaan pelbagai peringkat yang menyertai KONPES kali ini. Hampir 250 peserta dari peringkat sekolah, penyair, penggiat seni sastera, penulis dan turut dihadiri oleh tokoh-tokoh seni dan Sasterawan Negara. KONPES telah mencapai objektifnya apabila dihadiri oleh peserta dan pembentang makalah daripada enam buah negara, iaitu Malaysia, Indonesia , Singapura, Thailand dan Korea dan China dengan tema ‘Kemanusiaan Sejagat’.
Pembentangan makalah yang diadakan pada hari kedua KONPES oleh beberapa wakil pembentang daripada beberapa negara jemputan. Antara yang menarik perhatian peserta KONPES apabila pembentangan daripada Profesor Dr. Rosalina Abdul Salam membentangkan tajuk ‘Keharmonian Puisi dan Kecerdasan Buatan’. Menurut Prof. Dr. Rosalina Abdul Salam, perkembangan teknologi semasa sangat pantas dan mampu menyumbang kepada perkembangan sastera budaya tanah air”. Beliau mengulas lanjut bahawa artificial intelligence yang wujud pada 80-an telah digunakan secara meluas di beberapa negara dan semakin berkembang khususnya sebagai sistem dan aplikasi pemudah cara dalam beberapa bidang sektor industri perkilangan dan pembuatan. Ini telah menyumbang kepada efisiensi pembangunan dan penghasilan yang memberangsangkan. Kecerdasan buatan atau istilah Artificial Intelligence telah diperkenalkan oleh John McCarthy dalam kertas cadangannya pada tahun 1955 untuk Persidangan Dartmouth pada tahun 1966. Pemahaman berkaitan kecerdasan buatan adalah suplemen dan ianya bukan pengganti. Kecerdasan buatan menerusi aspek yang dibincangkan perlu difahami bahawa ianya satu bentuk komunikasi yang menghubungkan keperluan manusia dan teknologi. Teknologi ini digunakan secara meluas sektor perkilangan, automotif, kesihatan, pendidikan, perdagangan, data sekuriti, media sosial dan banyak lagi untuk kelangsungan manusia.
Menerusi penyampaian tersebut, Prof. Rosalina turut memaparkan cubaan beliau menggunakan beberapa aplikasi kecerdasan buatan iaitu Bing, Chat GPT, Bard Ketiga-tiga aplikasi ini ada yang digunakan secara meluas khususnya Chat GPT dalam bidang penulisan. Namun berbanding aplikasi Bing dan Bard masih minima penggunaannya.
Beliau mengambil contoh sajak karya Sasterawan Negara YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan berjudul Kesal Seorang Ibu Yang Bekerja yang menggunakan aplikasi bard dipaparkan bersama imej yang diciptakan oleh aplikasi tersebut mengikut konten yang difahami. Juga dipaparkan sajak nukilan Sasterawan Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh bertajuk Suara Alam yang menunjukkan imej berkaitan alam semula jadi. Aplikasi ini dianggap membantu memudahkan pemahaman secara literal gambaran secara visual.
Prof Rosalina turut menyifatkan bahawa setakat ini penciptaan imejan yang dihasilkan oleh aplikasi bard boleh digunakan dalam karya-karya puisi yang menampilkan visual dan memudahkan rekaan imej yang berkaitan tanpa memerlukan lakaran pelukis secara nyata. Testimoni seterusnya ditunjukkan berkaitan dengan penciptaan sajak oleh bard berjudul Anakku dan ianya tidak jauh daripada hasil kreativiti manusia. Teknologi kecerdasan buatan dan seni telah digunakan dalam bidang penulisan puisi, gambaran atau lakaran visual menghasilkan muzik di beberapa buah negara luar sehingga kini. Tidak ketinggalan ianya melakukankan simulasi artistik dan juga penjana idea yang dianggap sebagai ‘rakan kerja’ yang telah membantu kerja-kerja rutin manusia. Namun Prof menegaskan bahawa aplikasi ini masih memerlukan manusia untuk sebagai daya penggerak untuk ‘memandu’ secara terarah walaupun teknologi kecerdasan buatan dijangka hampir melengkapkan keperluan kehidupan dalam apa jua sektor dan bidang yang diterajui manusia.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM