Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM

17 Oktober, Nilai- Terapi ditakrifkan sebagai rawatan sesuatu penyakit fizikal atau mental secara proses pemulihan tanpa penggunaan ubat atau pembedahan (Kamus Dewan edisi keempat). Sebahagian masyarakat menggunakan kaedah rawatan terapi sebagai pilihan atau ikhtiar akhir untuk merawat penyakit.

Dalam membicara lanjut program bual bicara tanpa sempadan Sembang Bukan Gebang (SBG) musim kedua, anjuran Pusat Kebudayaan USIM telah menjemput tokoh seni budaya tradisional tanah air Che Mohd Nassir Yusoff atau dikenali sebagai Pak Nasir, Pensyarah Kanan Kaunseling, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Azizah Abdullah dan Rosnan Rahman, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Kelantan. Menerusi terapi seni pula, terdapat rawatan yang dilakukan oleh pengamal perubatan tradisional untuk mengubat penyakit yang tidak dapat disembuhkan melalui pengambilan ubatan atau rawatan di hospital seperti main teri dan sebagainya. Namun jika ditelusuri terapi seni banyak hubungkaitnya dengan kesihatan mental atau perawatan jiwa.

Menurut Pak Nassir, “Terapi seni merupakan satu rawatan sejak tahun 40-an hingga 90-an. Namun ianya semakin kurang didekati masyarakat apabila memasuki era kemodenan dan penggunaan teknologi. Generasi muda pada hari ini mungkin tidak memahami kepentingan terapi seni dalam kehidupan. Dikatakan bahawa persembahan seperti Mak Yong, Main Teri bukan sahaja dianggap sejenis persembahan namun sebagai rawatan dengan kaedah terapi seni di samping aktiviti merapatkan silaturahim sesama masyarakat. Di sini terkumpulnya kelompok masyarakat kampung yang saling bekerjasama membantu persiapan tersebut dan diibaratkan seperti keramaian kampung sambil menyaksikan rawatan yang dijalankan.

Menurut Rosman Rahman pula, beliau berpendapat bahawa terapi seni adalah perawatan jiwa seseorang. Bagi mereka yang menghidapi kecelaruan jiwa maka perubatan tradisional seperti Mak Yong, Mek Mulung adalah rawatan alternatif yang boleh dicuba untuk mengubati masalah jiwa tersebut. Rosnan Rahman anak jati Kedah merupakan antara pengamal dan penggiat seni Mak Yong dan bakatnya terserlah sejak umur 25 tahun secara terarahnya beliau mendalami sewaktu melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM). Arwah datuknya berasal daripada Patani, Thailand berhijrah ke Kedah dan aktif dalam persembahan Mak Yong Kedah atau dipanggil Mak Yong Laut. “Muzik Mak Yong seakan memberi semangat dan bunyi-bunyian tersebut menghasilkan getaran dan memberi kesan kepada jiwa saya”. Ujar beliau yang mengaitkan tentang susur galur keturunan Mak Yong yang mengalir dalam dirinya.

Mengulas lanjut dari sudut psikologi pula, Dr. Azizah Abdullah mengaitkan dari segi perspektif jiwa. Berpuluh tahun lalu telah wujud elemen muzik, tarian dan pergerakan sebagai kecenderungan rawatan terapi. “Terapi seni semakin popular di nagara kita dan berkembang luas dan dalam konteks jiwa ditekankan melalui pergerakan dan sentuhan. Pergerakan fizikal menyanyi, menari mengikut rentak muzik mampu memberi suasana kelegaan kepada seseorang dan daripada kajian saintifik banyak membantu proses perawatan jiwa. Lagu-lagu yang dimainkan memberi kesan jiwa menerusi bait-bait lirik dan sangat berkesan kepada pesakit untuk keluarkan aura negatif. Malah dimainkan juga lagu-lagu zikir dan ianya seperti makanan jiwa untuk mengurus emosi pesakit”. Tambah beliau, sebagai umat Islam, ucapan zikir yang dialunkan memberi terapi ketenangan dan mampu membawa ke proses pemulihan jiwa daripada anasir-anasir dan ingatan terhadap perkara negatif.

Dalam pada itu, pengamal perubatan yang masih hidup dan aktif merawat pesakit dan pengkaji yang tanah air perlu memberi pencerahan berkaitan terapi seni di mana elemen yang terkandung dalam proses terapi mendengar muzik, lagu, melakukan pergerakan fizikal atau ‘movement theraphy’ adalah proses merawat pesakit dan ini adalah langkah mengurangkan tekanan emosi yang dialami oleh masyarakat kita. Proses ini dilihat amat berkesan kea rah pembinaan personality yang unggul kepada individu dan membangkitkan kembali semangat mereka untuk menjalani hidup yang lebih baik.
Sembang Bukan Gebang disiarkan secara dalam talian menerusi media sosial Facebook dan saluran YouTube rasmi Pusat Kebudayaan USIM selama 1 jam 30 minit bermula jam 11 pagi turut mengundang tetamu melalui panggilan telefon untuk memberi pandangan dan berkongsi pengalaman berkaitan topik yang dibincangkan.