Dengan mendapat ulasan terbaik daripada barisan juri yang hebat iaitu Fauzi Marzuki, komposer terkenal juga Dr. Ahmad Faizanyang didatangkan khas untuk menilai keberkesanan aktiviti budaya ini dan juga menilai tahap kreativiti yang dilontarkan pelajar dari hasil kesenian mereka, kumpulan kesenian Dikir Barat Tabuh Pendeta telah berjaya merangkul gelaran juara sekali gus membawa pulang trofi emas utama dalam majlis Anugerah Seni USIM yang menjadi malam penutup kepada Festival Seni USIM 2015 baru-baru ini.

Mengangkat tema dakwah dalam seni, kumpulan dikir barat tabuh pendeta membawakan keunikan dari segi penyampaian dan aksi dikir barat yang menarik selain mesej ketuhanan yang mendalam dan sejarah perjuangan Rasulullah dalam berdakwahdi dalam lirik lagu-lagu nyanyian dan bait-bait ‘karutan’ mereka.

Seiring dengan pengintegrasian ilmu aqli dan naqli, tabuh pendeta dilihat lebih menekankan tema berunsur islamik yang  memberi pendekatan dengan mengetengahkan pelbagai bahasa seperti bahasa Mandarin dan bahasa Tamilbagi memberi pemahaman selain melakukan tugas hakiki dalam menghiburkan penonton.

Wakil dari kumpulan Tabuh Pendeta iaitu Saudara Mokhtarudin bin Ismail yang juga merupakan tukang karut bagi kumpulan tersebut menyatakan perasaan terkejut kerana mereka semua tidak menjangkakan kemenangan mereka pada malam itu dek ramai kumpulan seni yang membawakan persembahan yang lebih hebat.

Walaubagaimanapun, beliau yang juga merupakan pelajar tahun akhir Quran dan Multimedia itu sangat bersyukur di atas kemenangan yang tidak disangka-sangka itu. Kumpulan Tabuh Pendeta turut membawa pulang wang berjumlah RM 1 000, hamper juga sijil bersama trofi iringan yang disediakan oleh pihak penganjur.

Secara ringkasnya, Tabuh Pendeta yang merupakan singkatan kepada Tarikan Budaya melalui Pendekatan Ta’abbuddiyyah yang dianggotai oleh 20 orang ahli ini juga telah berjaya membawa dikir barat USIM ini ke peringkat seterusnya di mana mereka juga berpengalaman melibatkan diri di dalam rancangan televisyen seperti Rasul Yang Kata di TV9, Karoot Komedia X, Maharaja Lawak Mega,  Malaysia Hari ini dan pelbagai rancangan televisyen yang melibatkan seni dikir ini.

Kumpulan Tabuh Pendeta yang juga telah menjuarai Pertandingan Dikir Barat antara IPT 2015 yang berlangsung di UPSI baru-baru ini juga menyuarakan harapan mereka melalui wakil Tabuh Pendeta supaya kumpulan ini lebih maju dan meningkat naik di masa hadapan dan dapat melahirkan karya seni seiring dengan dakwah Islam.