Oleh :
EB Nur Syahirah Mat Yusof & EB Muhd Faiz Mohd Shaiful
Kelab Seni Budaya, Pusat Kebudayaan USIM

KEDAH, 14 Februari 2020 – Jejak warisan sempena Organization Enhancement Program 8.0 Kembara Ilmu Zon Utara Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Negeri Sembilan ke Kampung Baru, Mukim Wang Tepus, Jitra Kedah baru-baru ini menemui seorang tokoh seni Mek Mulung yang masih menyimpan keinginan dan semangat tinggi untuk kembali aktif bermain Mek Mulung.

Ahmad Shahdan atau lebih mesra dipanggil Pak Mat, 56, merupakan seorang pengamal seni yang masih mempertahankan kelestarian seni Mek Mulung mula menceburi bidang seni ini sejak berumur 15 tahun lagi. Minat dan kecenderungan beliau yang sangat mendalam terhadap seni Mek Mulung ini menjadikan beliau setia untuk kekal bergiat sebagai pewaris tunggal Mek Mulung yang mempunyai keunikannya tersendiri dan tiada di tempat lain.

Pak Mat sedang menceritakan mengenai sejarah dan asal-usul mek mulung

Mek Mulung dikatakan berasal dari Legor, Siam dan diperkenalkan di negeri Kedah. Mek Mulung merupakan adunan kesenian yang menggabungkan lakonan, nyanyian, tarian dan alunan muzik dalam sesuatu persembahan. Nama Mek Mulung berasal daripada perkataan “Mek” iaitu panggilan kepada gadis-gadis sementara perkataan “Mulung” pula ialah nama hutan tempat bermulanya persembahan ini.

Menurut Pak Mat, suatu ketika dahulu permainan Mek Mulung ini mengandungi unsur-unsur ritualnya tersendiri. Namun kini, unsur-unsur tersebut telah pun dibuang dan tidak dimainkan lagi dalam seni tarian Mek Mulung.

Berkongsi pengalaman, Pak Mat menceritakan bahawa terdapat lebih kurang 12 hikayat atau cerita yang di dalam persembahan Mek Mulung. Walaubagaimanapun, yang diketahuinya hanya empat cerita. Antaranya ialah Puteri Cahaya Bulan, Dewa Muda, Dewa Kacak, dan Puteri Dua belas. Selain itu terdapat empat jenis tarian dalam persembahan Mek Mulung, antaranya ialah Puteri Mabuk, Anak Manora, Gambang dan Sedayung.

Tambahnya lagi, “Mek Mulung hanya wujud di Kedah sahaja. Persembahan Mek Mulung masih lagi mengekalkan dialek kedah tua dalam persembahan mereka. Ia menggambarkan suasana Kedah ketika zaman dahulu dan bagaimana tatacara rakyat Kedah dengan golongan raja. Bahasa ini amat unik dan tidak dapat ditiru oleh mereka yang bukan berasal dari Kedah.”

Para tetamu sedang khusyuk mendengar penjelasan daripada Pak Mat

Dengan mengekalkan ciri-ciri tradisional yang bertunjangkan sejarah silamnya dengan cerita-cerita serta watak-watak yang tidak berubah, termasuklah muzik dan lagu-lagunya meletakkan Mek Mulung sebagai sebuah teater tradisional yang indah dan menarik.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed “kunjungan yang diadakan ini amat bertepatan dengan objektif program O-Pro yang mana kita menjejak semula kesenian tradisi Mek Mulung yang merupakan salah satu warisan yang makin tidak diketahui dan oleh generasi kini.”

Tambah beliau, tokoh seperti Pak Mat perlu diberi perhatian agar beliau boleh terus melestarikan seni Mek Mulung.
Sudah hampir empat tahun Pak Mat tidak bermain Mek Mulung disebabkan panggung atau dipanggil bangsai (bangsal) oleh penduduk di situ berada dalam keadaan daif, hampir roboh dan terbiar begitu sahaja.

Pak Mat menyatakan sehingga kini, hanya segelintir kecil orang muda yang berminat untuk mempelajari kesenian ini.

Menurutnya, beliau antara salah seorang pewaris yang tinggal dan jika ada pihak yang dapat membantu dari segi pembinaan panggung episod duka lara Pak Mat dan rakan-rakannya akan pulih dan dapat meneruskan aktiviti bermain Mek Mulung kerana kesenian ini membentuk budaya muafakat kalangan masyarakat. Dikatakan jika persembahan Mek Mulung diadakan orang ramai di sekitar kampung dan pelusuk kawasan akan membanjiri kampung ini dan suasananya amat meriah.

Ismail menegaskan bahawa usaha memulihara dan memelihara Mek Mulung perlu dilakukan segera kerana kesenian ini mempunyai nilai estetika dan identiti jati diri Melayu yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.