NILAI, 18 Februari – Gelanggang seni budaya universiti tidak kurang liku dan cabarannya. Bagi Pusat Kebudayaan USIM, langkah untuk mengekalkan momentum agar mencapai sasaran yang diinginkan, memerlukan satu kerangka strategi yang disusuli dengan usaha yang jitu untuk mencapai kemenangan. Menutup tirai tahun 2022, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya merangkul johan keseluruhan dalam Festival Universiti-universiti Malaysia (FESTKUM) 2022. Acara gilang-gemilang FESTKUM yang telah berlangsung pada 19-23 Disember ini telah membawa kejayaan besar kepada kontinjen USIM yang diwakili oleh 21 peserta melalui acara yang dipertandingkan iaitu lagu melayu asli, sayembara deklamasi puisi, muzik akustik dan nasyid. Kejayaan ini adalah salah satu penyumbang terbesar kepada 22 pencapaian di pelbagai peringkat Pusat Kebudayaan USIM bagi tahun 2022.
Sebagai menghargai jasa, sumbangan dan bakti kepada pihak yang terlibat di dalam membantu menjayakan program dan mengharumkan nama USIM, Pusat Kebudayaan USIM telah mengadakan majlis Santunan Budi bagi menyantuni dan meraikan mereka yang terlibat. Majlis ini menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada Karyawan Seni USIM, antaranya Dato’ Nash, Siso Kopratasa dan Fauzi Marzuki yang disampaikan oleh Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari. Sementara itu, penyampaian penghargaan turut diberikan kepada rakan strategik Pusat Kebudayaan USIM, antaranya Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Utusan Malaysia (Media Mulia), karyawan Pergendangan Melayu tanah air Kamrul Bahri Hussin dan beberapa lagi agensi serta individu yang sentiasa menyokong dan berkongsi kepakaran dalam program seni budaya USIM.
Apabila ditanya berkenaan objektif penganjuran majlis ini, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, “penghargaan ini menunjukkan kebersamaan USIM bersama masyarakat luar, dan usaha ini direalisasikan sebagaimana yang dihasratkan oleh pihak pengurusan Universiti agar terus mendekati dan menyantuni masyarakat melalui penganjuran dan kolaborasi program yang dapat memberi manfaat bersama”.
Pada majlis yang sama, penyampaian penghargaan dan pelantikan semula kepada 15 tenaga pengajar seni budaya yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff turut diadakan sebagai menghargai tenaga dan komitmen tinggi yang telah dicurahkan dalam meningkatkan skil mahasiswa USIM khususnya kumpulan kesenian yang dianggotai oleh Kelab-kelab Seni Budaya USIM. Acara kemuncak majlis ini, penyampaian anugerah Santunan Budi diberikan kepada tenaga pengajar seni budaya yang telah mencurahkan bakti selama 15 tahun dan setia membimbing mahasiswa. Tiga tenaga pengajar seni budaya telah dipilih bagi menerima anugerah kali ini yang terdiri daripada bidang kesenian nasyid, Mohd Huzaimi Mohd Zaini, bidang seni lukis Muhammad Zarihi Nubhan dan juga bidang teater, Mohd Arif Taslim yang turut dikenali sebagai Aloeng Silalahi. Penyampaian anugerah tersebut telah disampaikan oleh Sasterawan Negara, Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh.
Majlis yang diadakan di Rymba Haven menyaksikan hampir 100 tetamu yang hadir. Selain itu, majlis ini juga diadakan untuk mengukuh dan memelihara hubungan baik USIM bersama komuniti seni dan rakan strategik yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program Seni Berbudaya USIM.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM