Nilai, 21 Januari: Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Majlis Sanjungan Budi, Menyemai Bakti bagi menghargai kepimpinan Kelab Seni Budaya sesi 2023/2024 serta meraikan pelantikan rasmi kepimpinan baharu bagi sesi 2024/2025.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohd Salehudin Sukor bertempat di Panggung Seni. Acara gemilang ini dihadiri oleh Tenaga Pengajar Seni Budaya dan barisan kemimpinan ahli-ahli Kelab penerbitan Kreatif, Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni dan Kelab Pengurusan Persembahan Seni. Selain itu, turut hadir memeriahkan majlis wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar terdiri daripada Yang Dipertua, Haikal Nazhan Hamdan, Iffah Madihah Ahmad Basri dan Muhammad Zamratur Rahman Yussri.

Encik Salehudin, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM menyampaikan ucapan beliau di Majlis Sanjungan Budi Menyemai Bakti

Majlis Sanjungan Budi Menyemai Bakti diadakan bertujuan sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin terdahulu yang telah mencurah bakti, sekali gus menyuntik semangat kepada generasi baharu yang bakal menerajui kepimpinan kelab. Kelab Seni Budaya. “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, Perjuangan dalam seni dan budaya memerlukan usaha berterusan dan USIM sentiasa komited memperkasa bakat mahasiswa agar ianya memperoleh manfaat.” Ujar Salehudin dalam ucapan perasmiannya. Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan nama baharu bagi penggunaan nama Kelab Seni Budaya ditukar kepada Angkatan Seni Budaya merujuk kepada kumpulan generasi seni budaya yang bertindak sebagai penerus legasi seni.

Mewakili semua kelab yang bernaung di bawah Pusat Kebudayaan, Muhammad Sofha Hafizin Amirul Farhan dalam ucapan berkata “Saya percaya penglibatan kita semua bukan sahaja dapat melahirkan individu berilmu dan berdaya saing, tetapi juga memberi pengalaman berharga sebagai proses kematangan yang sangat berguna untuk masa hadapan.”

Acara pada petang itu turut diserikan dengan persembahan seni dan ucapan balas penghargaan daripada mantan pengerusi ketiga-tiga kelab agar organisasi kepimpinan baharu mampu memberi komitmen dan berperanan sebagai Penggerak Seni Berbudaya yang saling bekerjasama bagi menjayakan visi dan misi Pusat Kebudayaan USIM dan terus menyumbang kepada kecemerlangan universiti. Turut menyampaikan ucapan Silahudin Ahmad, mewakili Tenaga Pengajar Seni Budaya yang menyeru agar pelajar USIM kekal menjaga nilai adab dan ilmu seni yang dipelajari sentiasa dipelihara.

Intiha, majlis ini menyerlahkan komitmen USIM dalam memperkasakan bidang kesenian di kalangan pelajar dan sebagai wadah peneraju dalam memperkasa seni berbudaya selari dengan nilai-nilai Islam.

Disediakan oleh:
EB Nur Aina Syamimi Abd Halim
Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM