Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM

13 November, Nilai – Bersesuaian dengan budaya baharu, Pusat kebudayaan USIM mengadakan sesi rakaman persembahan Cak Lempong bertempat di Panggung Budaya, Pusat Kebudayaan USIM. Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed “rakaman persembahan seni Cak lempong ini diadakan sebagai alternatif dan nafas baharu dalam era endemik kini. Kita memahami bahawa banyak perkara dan pelaksanaan program yang masih terbatas dan rakaman ini adalah usaha kreatif untuk menggalakkan aktiviti Seni Berbudaya terus subur di USIM”.

Rakaman video persembahan seni Cak Lempong oleh kumpulan Tingkah Irama USIM dianggotai seramai 13 ahli terdiri daripada 9 pemuzik dan 4 orang penyanyi yang mempersembahkan lagu Kurik Kundi dan Cindai. Pemilihan lagu-lagu ini sesuai dengan keperluan sesebuah majlis. Menurut pengerusi Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni, saudara Danish Onn Zafran berkata “latihan persembahan Cak Lempong telah diadakan sejak kampus USIM dibuka pada pertengahan Oktober lalu dan kami bersemangat untuk mengadakan persembahan kembali kerana dengan adanya aktiviti seumpama ini kehidupan dikampus lebih seimbang”. Ujarnya lagi walaupun sesi pembelajaran masih diadakan secara dalam talian namun tidak menjadi halangan kumpulan Tingkah Irama mengadakan latihan secara berkumpulan.

Hasil rakaman video ini akan disiarkan di platform media sosial rasmi Pusat Kebudayaan USIM dan dijadikan alternatif tayangan persembahan seni di acara atau majlis rasmi Universiti. Seramai 25 orang terdiri daripada staf Pusat Kebudayaan USIM dan ahli Kelab Seni Budaya USIM terlibat dalam menjayakan sesi rakaman tersebut mengikut kepatuhan Standard of Prosedur (SOP) yang ditetapkan.