Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif

NILAI, 17 Disember – Proses penyesuaian norma baharu harus dilalui oleh setiap peringkat organisasi termasuk kumpulan pelaksana dan pengurusan tertinggi. Dalam merencana program pada tahun 2021 yang semakin mencabar, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Organization Enhancement Program atau lebih dikenali sebagai O-Pro untuk merancang aktiviti seni budaya mengikut landasan sesuai dengan situasi yang melanda negara.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed “Situasi CoVID-19 telah banyak membataskan operasi khususnya pelaksanaan program Pusat Kebudayaan USIM namun ianya bukanlah halangan kerana dengan adanya bantuan teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk membantu kita memacu lebih jauh. Pada tahun 2021, Pusat Kebudayaan USIM akan melaksanakan program secara virtual dan memperkenalkan satu produk baharu yang dikenali sebagai ‘People Book’. Produk Seni Berbudaya yang merupakan sebuah penceritaan secara digital ini akan melibatkan beberapa fasa penghasilan yang menggabungkan bakat pelajar USIM yang diterbitkan menerusi gabungan e-book dan audiobook.” Beliau menambah, bagi memastikan penerbitan ini berjalan mengikut tempoh masa yang dirancang, beberapa program susulan seperti O-Pro akan diadakan sebelum kerja-kerja kreatif dilaksanakan. O-Pro ini sangat penting untuk staf dan pelajar menambah ilmu dan meningkatkan skil serta jalinan kepakaran dengan pihak yang terlibat dengan industri agar ianya mampu direalisasikan.

O-Pro 18.0: Perancangan Seni Berbudaya Pusat Kebudayaan USIM 2021 yang berlangsung selama tiga hari dihadiri oleh 14 peserta terdiri daripada staf dan pemimpin Kelab Seni Budaya lebih menjurus kepada perancangan strategik jabatan untuk memperkasakan Pusat Kebudayaan USIM di tahun 2021. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani dalam ucapan perasmiannya berkata “kita perlu mencipta sesuatu pembaharuan yang sesuai diterima dengan gaya kini supaya pelajar sentiasa merasa kita dekat dengan mereka. Dengan cara ini kita akan lebih dekat bersama pelajar walaupun mereka tidak berada secara fizikal di kampus.” Mengulas lanjut Mohd Rushdan menggesa bahawa pendemik ini menuntut semua warga pentadbir untuk lebih kreatif dalam penganjuran program bersama pelajar USIM.

 

Dalam pada itu, beberapa panel dijemput bagi sesi percambahan idea antaranya mengenai Muzik Tradisional Malaysia: Cabaran dan Perkembangan Muzik Tradisional dalam Era Digital oleh Pengarah Muzik Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya, Mohd Yazid Zakaria. Manakala perkongsian e-Buku: Teknologi Kreatif dalam Penerbitan disampaikan oleh Mohd Yusni Khusaini Dato’ Mohd Jusoh yang berpengalaman hampir sepuluh tahun sebagai jurulatih profesional penerbitan e-Buku. Bagi memenuhi keperluan semasa untuk mendalami kemahiran dalam bidang program virtual, sesi perkongsian secara maya melalui aplikasi Zoom telah diadakan bersama Noor Ariff Shahruddin dan sesi diakhiri dengan Potensi Jana Pendapatan melalui kerjaya sebagai Youtuber oleh Jafar Darma atau lebih dikenali dengan Brojep. Perkongsian bersama pihak industri bermatlamat untuk meransang pemikiran pentadbir seni khususnya untuk merasai pengalaman baharu dan memperoleh kemahiran selain kefahaman pengurusan organisasi seni yang boleh diterapkan untuk budaya kerja berkualiti.

Menurut pemimpin Kelab Seni Budaya USIM, Wafi Zalizan “O-Pro ini banyak membuka minda kami apabila kami bersama-sama memberi pandangan dan cadangan serta kerja kolektif dalam organisasi harus selari dengan misi Universiti. Kelab Seni Budaya berperanan sebagai penggerak aktiviti Seni Berbudaya USIM”.

Sementara itu, Naib Canselor USIM Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin yang turut hadir ke O-Pro 18.0 dan menyifatkan bahawa penerbitan ‘People Book’ sebagai showcase yang bakal dilaksanakan oleh Pusat Kebudayaan bertepatan dengan konsep prosumerisme. Usaha melahirkan prosumer muslim yang berilmu perlu bertitik tolak daripada adab dan pengamalan ilmu yang dipelajari serta manfaatnya kepada masyarakat. Ujar Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya semasa menyempurnakan perasmian penutup O-Pro 18.0: Perancangan Seni Berbudaya Pusat Kebudayaan USIM 2021.

Sesi pada petang itu diakhiri dengan penyampaian anugerah Staf Terbaik Pusat Kebudayaan kepada Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan, Mohamad Akmal Razali. Anugerah ini didedikasikan oleh Pengarah Pusat Kebudayaan dan diikuti dengan Pembentangan Terbaik Kumpulan serta penyampaian sijil komitmen kepada semua staf Pusat Pusat Kebudayaan USIM yang telah mencurah bakti dan sumbangan sepanjang tahun 2020.