Oleh: Rozihani Mohamad
1 November 2019, Putrajaya – Mendampingi para ilmuan tidak terbatas kepada menelaah buku hasil tulisan mereka. Pelbagai cara dan inisiatif boleh dilakukan agar ianya menjadi kenyataan. Usaha yang dilaksanakan oleh Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam menghimpunkan pakar sastera, penggiat, karyawan dan mereka yang masih aktif menyumbang kepada seni sastera wajar disokong. Program Puisi Kafe anjuran Pusat Kebudayaan USIM dengan kerjasama Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menemukan Sasterawan Negara, dan Budayawan bersama pengurusan tertinggi USIM bertempat di Coffea Coffe, IOI City Mall Putrajaya. Puisi Kafe mengambil inspirasi kejayaan program Sembang Pohon Keranji (SPK) bersama Sasterawan Negara ke-6, YBhg Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh yang telah dilaksanakan di kediaman beliau sejak tahun 2016 hingga tahun 2019.
Puisi Kafe yang julung kali diadakan ini adalah sebagai medan diskusi sastera dan budaya bersama Sasterawan dan Budayawan Negara yang efektif dengan konsep yang santai. Pada masa yang sama turut disampaikan penghargaan kepada mantan Naib Canselor USIM, Prof Dr. Musa Ahmad yang telah berkhidmat selama lima tahun sebagai Naib Canselor USIM yang kelima. Jasa dan sumbangan beliau dalam menyokong program Seni Berbudaya dilihat selari dengan niche integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Selain itu, Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin menerima ucapan tahniah atas pelantikan Naib Canselor ke-6 USIM. Penghargaan kepada Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan dan Prof. Dr. Siti Zainon Ismail disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Siddiq Haji Fadzil Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed menyatakan rasa terharu dengan kehadiran Sasterawan, budayawan dan sahabat handai kalangan penggiat seni terdiri daripada penulis, penyair ke Puisi Kafe kerana sehingga kini mereka masih menyumbang kepada pembangunan sastera tanah air.
Kehadiran budayawan syair Roslan Madun yang dikenali sebagai Raja Syair Nusantara membuka tirai dengan mendendangkan gema syair Madah Permata karya Ibnu Abdir-Raheem Brunei menggunakan irama Batu Belah. Beliau melahirkan rasa terima kasih dan syukur terhadap USIM atas usaha jitu mengangkat sastera Melayu melalui program seumpama ini kerana sastera mampu mengeratkan silaturahim.
Selain itu, Raja Teromba negara Prof Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin yang telah diangkat sebagai tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) menyatakan bahawa program ini adalah usaha ke arah pengembangan prosa dan seni Melayu untuk didengarkan kepada anak muda. Usaha untuk mendidik lebih ramai yang berminat untuk memperlajari teromba tetap diteruskan kerana warisan ini harus dipertahankan.
Naib Canselor USIM Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata ” “USIM ini dapat dilihat sebagai institusi bukan sahaja medan ilmu dan tetapi juga saya lihat ia sebagai ‘solution provider’ dan pelengkap kepada universiti dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli bersama-sama agenda seni budaya. Saya akan terus menyokong usaha ini bagi membawa USIM ke peringkat yang lebih tinggi” tambah Prof Ridza.
Mengulas lanjut Sasterawan Negara Prof. Dr. Siti Zainon Ismail berkata, peranan cendiakawan kini berbeza, tanggungjawab lebih besar dan kita perlu bekerja keras untuk melihat bangsa kita kuat dan berpegang teguh kepada jati diri Melayu dan berilmu. Kita harus bertanggungjawab kepada negara kita. Tegas beliau sebelum menyampaikan sebuah sajak.
Manakala Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan pula menyifatkan sastera bukan kepunyaan persendirian tapi ianya milik semua orang yang menghayati sastera itu sendiri. Setiap orang ada seni sastera kerana sejak kecil kita sudah diulik dengan nyanyian gurindam dan lagu-lagu rakyat dalam kehidupan seperti ketika mendodoi anak dan sebagainya. Secara tidak langsung penerapan sastera itu sudah wujud dalam diri kita.
Pemuzik tradisional tanah air Zin Ngah antara tokoh yang turut diraikan. Anak jati kelahiran Bagan Datoh Perak menyifatkan Puisi Kafe adalah pentas yang menghimpunkan anak-anak seni dari pelbagai bidang dan pertemuan sebegini perlu diteruskan kerana apa jua bidang penggiat dan kepakaran yang ada harus dikongsi dengan masyarakat. Melalui pendekatan masyarakat dan pelbagai bentuk komuniti akan tahu kewujudan dan sumbangan kita kepada bangsa dan negara. Beliau yang masih aktif mengadakan persembahan dalam dan luar negara turut mendendangkan lagu tradisi Zapin Budi pada acara tersebut.
Selain itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani turut hadir dan mendeklamasikan sebuah puisi bertajuk Taman Maknawi nukilan Shamsudin Othman. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehudin Abg Shokeran juga tidak ketinggalan menyampaikan sebuah puisi dan acara petang itu diteruskan dengan sesi Mikrofon Terbuka di mana tetamu yang hadir mengadakan persembahan sambil menikmati jamuan. Program Puisi Kafe akan diteruskan pada masa akan datang dengan acara yang lebih menarik dan diharap dapat menyumbang kepada pembudayaan ilmu pengetahuan kepada masyarakat.