NILAI – 27 April 2024 : Menelusuri makna kehidupan setiap insan tentunya tidak sama. Lazimnya hidup ini bermula dari muka tanah hingga ke puncak gunung. Tidak kurang juga bermula dari puncak dan menurun ke jejak kaki bumi. Begitu resminya setiap insan melalui fasa hidup yang sudah ditakdir oleh maha pencipta. Dengan menggunakan prosa Melayu tradisi dan moden USIM memberi kelainan dengan menampilkan sebuah karya yang menarik emosi penonton dengan mempersembahkan penceritaan tentang perjalanan kehidupan insan.

Gema Palu Genderang mengangkat tema “Mengalun Puisi Alam Melayu dan Kehidupan” merupakan inisiatif USIM yang dilaksanakan oleh Pusat Kebudayaan USIM untuk mengangkat unsur Islam yang terkandung dalam kesusasteraan Melayu melalui naskhah puisi tradisional dan moden. Sastera Melayu sememangnya berkait rapat dengan keindahan Islam yang diterjemahkan melalui bait-bait kalam, diikat bersama kesantunan adab dan budaya seperti kata-kata nasihat yang disampaikan dalam bentuk bidalan, peribahasa, nilai-nilai murni dan seruan berbuat baik untuk mendidik masyarakat.

Bersesuaian dengan USIM sebagai sebuah pusat pengajian tinggi Islam, pengisian yang diketengahkan dalam Gema Palu Genderang kali ini juga berteraskan paduan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang menjadi nadi pembangunan USIM bagi pembentukan generasi cemerlang dan berilmu. Persembahan yang mendasari dari permulaan kemenjadian manusia bermula dari alam Ar-Rahim (Kelahiran), alam At-Tufulah (Kanak-kanak), alam Al-Hayah (Dewasa) akhirnya tiba di alam Tauhidik (Jalan Ketuhanan). Menelusuri perjalanan kehidupan manusia melalui empat fasa alam ini akan membangkitkan rasa keinsafan, muhasabah untuk kembali ke fitrah dalam menuju kehidupan yang sejahtera dan bermanfaat.

Tokoh dan penggiat budaya Negeri Sembilan Dato Kemaru atau Pak Lang mempersembahkan pantun Palu Genderang.

Uniknya persembahan dimulakan dengan segmen pertama yang mengisahkan tentang kelahiran manusia ke dunia dan menggambarkan transisi kejadian manusia bermula dari alam roh sehinggalah dilahirkan dan diasuh oleh kedua ibu bapa. Permulaan hidup insan alam ‘Ar Rahim’ diterjemahkan melalui persembahan azan, syair kelahiran, medley lagu Bongai Dodoi anak, Tepuk Amai-amai dan Burung Kenek-kenek. Alunan muzik yang mengimbau kenangan ketika anak dibesarkan, dipatri dengan lirik yang mendamaikan jiwa bagi membentuk pekerti mulia di awal kehidupan.

Penceritaan ini dilanjutkan ke peringkat at-Tufulah iaitu mempamerkan alam kanak-kanak yang penuh warna-warni dan diselubungi dengan sifat ingin tahu. Proses perjalanan kehidupan di fasa ini membawa naratif secara melalui persembahan gurindam Raja Ali Haji, medley Ayuh Buai Kok Kek, Bangau Oh Bangau dan gurindam Pusaka.

Menginjak ke alam al-Hayah, persembahan qasidah, teromba dan lagu-lagu yang melatari kehidupan di alam kedewasaan yang tidak lekang dari konflik dan sasaran untuk terus mencari erti kehidupan sebenar. Di sini terbitnya perasaan ingin hidup berpasangan, persahabatan, berkerjaya bagi mencapai matlamat hakiki menjadi khalifah penuh takwa.

Lagenda lagu puisi Kopratasa menyampaikan lagu Permata Untuk Isteri, Dabus Rohani dan Masihkah Kau Ingat.

Diakhirnya audiens akan dibawa ke satu fasa tauhidik yang menjentik perasaan ingin kembali kepada pencipta. Segala peristiwa atau kejadian yang berlaku telah pun berlalu dan membawa pengajaran yang memberi keinsafan dan kesedaran untuk memperbaiki kesilapan. Melalui fasa kehidupan mengikut landasan nas, setiap insan sudah pasti meningkatkan usaha untuk untuk tampil sebagai khalifah yang mampu memakmur bumi ilahi sebagai persediaan menuju ukhrawi.

Bersesuaian dengan kehendak semasa, paparan ‘visual’ dilihat sebagai satu keperluan bagi memberi panduan terbaik kepada generasi kini. Persembahan Gema Palu Genderang antara medan terbaik membawa seruan untuk mengangkat nilai insani, berbuat baik dan menjalankan tanggungjawab sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Hasrat ini disambut baik oleh jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada pelajar sebagai Penggerak Seni Berbudaya USIM.

Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi turut mendekalamasi puisi semasa perasmian Palu Genderang.

Gema Palu Genderang telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi turut dimeriahkan dengan persembahan khas deklamasi puisi oleh beliau. Persembahan dendangan lagu rakyat, lagu puisi moden, alunan muzik, ensemble vokal, nyanyian solo, dendangan puisi tradisional (nazam, berzanji, gurindam, teromba dan syair) dan bacaan al-quran bertaranum telah dijayakan oleh Kelab Seni Budaya USIM termasuk beberapa artis tanah air iaitu Maestro Syair tanah air Roslan Madun, Karyawan Seni USIM Dato’ Nash, Siso Kopratasa, Ikon Seni Hisyam Haris, Husaini Mahmur malah turut menampilkan lagenda lagu puisi tanah air kumpulan Kopratasa. Turut menjayakan tokoh dan penggiat budaya Negeri Sembilan, Dato’ Kemaru Ibrahim atau pun terkenal dengan panggilan Pak Lang, penyampai radio Negeri FM, Norlizahana Abdullah Sani atau panggilan Nen Tebabo, alumni dan pelajar USIM yang terlibat sebagai pemuzik.

Turut hadir menyaksikan, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Md. Ishah Rahman, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM dan hampir 300 audiens hadir terdiri daripada warga USIM dan pelbagai lapisan masyarakat. Gema Palu Genderang turut disiarkan secara langsung menerusi USIM TV.

Disediakan oleh:
Pn. Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM