Serdang, 9 Mei – Produk seni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meluaskan lagi pasarannya menerusi jualan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di MAEPS, Serdang buat pertama kalinya baru-baru ini.

Selaras dengan matlamat pusat kebudayaan selaku peneraju seni berbudaya, produk seni yang dibawakan bukan sahaja mengikut landasan syariah malahan mengetengahkan mesej dan nilai murni yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Ismail Ahmed, pengarah Pusat Kebudayaan USIM berkata, percubaan julung kalinya menembusi pasaran di PBAKL ini bertujuan untuk mempromosi produk seni terbitan Pusat Kebudayaan sendiri, antaranya CD Album qasidah kontemporari Bushra Lana, CD Album lagu Melayu Asli, komik Apojolah, buku puisi Islam Garizahku Buat Maharani dan buku INSART.

Menurutnya, searus dengan kemodenan zaman ini, susunan muzik dalam Album Bushra Lana telah diberi nafas baru dan disuntik dengan elemen yang lebih moden bagi mengambil pendekatan yang kontemporari untuk menarik minat anak muda pada masa kini.

Tambahnya lagi, produk seni ini dapat memberi hiburan yang bermanfaat kepada pembeli selain menyatakan bahawa seni itu adalah anugerah dari Allah yang boleh dikongsikan bersama melalui produk yang diketengahkan ini.

Sementara itu Muhammad Zulhakim Ismail, mahasiswa UNIKL, Bangi yang turut mengunjungi reruai Pusat Kebudayaan USIM berkata, produk seni ini wajar diperkenalkan kepada masyarakat kerana mempunyai keunikan tersendiri.

“CD album qasidah kontemporari Bushra Lana tidak jemu didengar berulang kali, selain gubahan muziknya yang segar dan energetic yang menarik minat saya untuk membeli CD ini,” katanya.

Berlangsung selama 11 hari, reruai Pusat Kebudayaan turut dimeriahkan dengan persembahan dari USIM Buskers, deklamasi sajak, serta dendangan Bushra Lana secara langsung. Turut dimeriahkan dengan Karyawan Seni USIM, Siso Kopratasa dengan dendangan lagu-lagu rakyat koleksi beliau.

Oleh:

EB Nur Khairul Bariyah Ismail

Pusat Kebudayaan USIM