Oleh:

Rozihani Mohamad

26 November, Melaka – Pusat Kebudayaan USIM buat pertama kalinya telah menghantar lima orang ahli kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) untuk menyertai Sayembara Puisi Sungai Melaka. Saringan yang berlangsung pada waktu siang telah menyaksikan 35 peserta bertanding mendeklamasikan puisi daripada buku antologi “Sungaiku, Kekasihku” sebagai salah satu syarat pertandingan.  Seorang peserta USIM, Intan Aika Amira Azhari telah terpilih ke peringkat akhir beserta 4 lagi yang terdiri kategori awam/IPT/Terbuka. Setiap kategori yang dipertandingkan dipilih 5 orang ke peringkat akhir.

Menurut Tenaga Pengajar Seni Budaya kumpulan puisi USIM, Silahudin Ahmad menyifatkan bahawa penyertaan kali ini diharap dapat memberi galakan dan pengalaman baharu kepada yang pertama kali menyertai dan mereka perlu tahu format penganjuran pertandingan. Tegas beliau juga kematangan peserta mampu dibina melalui hubungan sesama peserta pertandingan.

Pertandingan akhir menyaksikan 15 peserta yang diadili oleh tiga juri jemputan dan ketua juri Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. Peserta tunggal USIM, Intan Aika Amira Azhari telah mendapat tempat ketiga, naib johan peserta dari negeri Perak dan johan dimenangi oleh peserta dari negeri Selangor. Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka YAB Tuan Adly Zahari. Karyawan Seni USIM, Syed Indera syed Omar telah dijemput menyampaikan persembahan selingan pada acara tersebut.

Penganjuran program ini diadakan sempena Festival Antarabangsa Sungai melaka yang berlangsung bermula pada 1 hingga 30 Nomber 2019. Melaka sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sejarah melihat sungai dan kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan. Ketamadunan kehidupan manusia banyak bermula di pinggir atau muara sungai. Negeri Melaka, mempunyai sejarah yang panjang dan tersendiri tentang perkara ini. Peristiwa seekor anjing ditendang seekor pelanduk di tebing sungai sehingga membawa kepada penamaan negeri Melaka. Penganjuran puisi yang dilaksanakan dalam bentuk sayembara yang telah masuk tahu ke-3 ini juga sebagai langkah memelihara warisan khazanah prosa Melayu ini yang telah tersohor dan berkembang luas dalam masyarakat sejak dulu dan kembali mekar ke generasi kini walau pernah sunyi dek hambatan kemodenan.