Disediakan oleh:
EB Nur Syahirah Mat Yusof
Pusat Kebudayaan USIM
Universiti Sains Islam Malaysia

Nilai, 13 Februari – Menelusuri liku kehidupan yang berhujung pada sebuah kejayaan sudah pastinya menuntut pengorbanan dan perjuangan. Tidak hanya sekali mencuba, malah berkali-kali dan tidak mengenal putus asa menjadi pendinding diri untuk menghadap dua persimpangan sama ada terbilang atau terbuang.

Artis legenda tanah air Nashrudin Hj Elias atau lebih dikenali dengan Dato’ Nash, 61 tahun muncul dalam program baharu Wacana Figura anjuran Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kemunculan beliau secara maya itu menerusi secara langsung di Facebook berkisarkan tentang perkongsian pahit manis perjalanan sebagai anak seni.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed Wacana Figura adalah sebuah program yang berunsurkan inspirasi bertujuan memberi suntikan semangat kepada generasi muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang seni tidak terhad kepada persembahan malah bidang profesional yang lain seperti penulisan lirik, komposer, pengacara dan lain-lain. Dato’ Nash adalah figura yang sesuai dan ini adalah salah satu program yang direncanakan melibatkan Karyawan Seni USIM. USIM mempunyai enam Karyawan Seni yang dilantik mengikut kepakaran bidang dan saya yakin perkongsian ini serba sedikit memberi gambaran sebenar kehidupan anak seni yang tidak lekang dari cabaran bersesuaian dengan gaya COVID-19 kini”. Ujar Ismail lagi pembudayaan seni juga harus seiring dengan kreativiti dan teknologi.

Sebut sahaja Lefthanded, sudah pasti fikiran menerawang akan wajah penyanyi berkulit hitam manis bersuara serak yang terkenal dengan lagu Debunga Wangi, Tiada Lagi Kidungmu dan Ku di Halaman Rindu. Lagu ini masih meniti di bibir peminat sepanjang zaman. Dato’ Nash mula berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak remaja dan menganggotai kumpulan pertamanya Easy Livin’ seterusnya Step Closer sebagai vokalis dan kumpulan Lefthanded.

Bercerita tentang pembabitannya dalam dunia muzik, anak jati kelahiran Muar Johor ini pernah berkhidmat di Lembaga Letrik Negara (LLN) yang kini dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad di Bangsar, Kuala Lumpur. Ruang dan peluang yang ada tidak pernah disiakan. Minat mendalam terhadap seni suara bermain muzik tidak pernah mengenal lelah. Setelah tugasnya selesai di pejabat, beliau menyambung rutinnya sebagai sebagai seorang penyanyi.

“Saya pernah merasai pengalaman tidur di tepi jalan landasan kereta api dengan bau minyak tanahnya, menaiki bas daripada Subang Jaya ke Bangsar di waktu pagi hari dan terpaksa berhimpit di dalam bas untuk menuju ke tempat kerja di LLN Bangsar”.
Tidak lama bersama LLN beliau dilamar oleh Allayarham Man Dayak dan Samad Mian untuk menyertai kumpulan Lefthanded. Bagaikan mengantuk disorongkan bantal Dato’ Nash memulakan karyanya bersama kumpulan Lefthanded. Cabaran yang sangat sukar dilaluinya apabila terpaksa mendengar dan menghafal lagu lagu rock barat yang jarang didengari.

Syarikat rakaman
Leftanded adalah kumpulan tetap yang berkerja di Hard Rock Cafe Taman Tun pada ketika itu telah dilamar oleh Ali Bakar untuk projek rakaman Battle of The Band dan juga Konsert Tour Satu Malaysia. Nama Lefthanded naik mendadak dan mencapai kemuncak populariti. Mereka mendapat perhatian syarikat rakaman Warner Music dan melamar sebagai artis rakaman dibawah naungan syarikat antarabangsa tersebut. Bernaung dibawah Warner Music, lahir album pertama “Keadilan” Lefthanded dan kerjaya kian rancak sehingga berjaya melahirkan lima buah album.
Dato’ Nash berkata, ketika dirinya kian mencipta nama dalam industri seni muzik, beliau diuji dengan kehilangan keluarga tersayang ketika itu.

“Saya merasa sangat sedih kehilangan seorang ibu. Pada mulanya ibu sukar menerima keputusan saya untuk terlibat dalam nyanyian, tetapi saya tetap berusaha untuk membuktikan bahawa penyanyi juga mempunyai masa depan. Setelah ibu tercinta mengadap Illahi, kenangan yang masih tidak dapat dilupakan apabila menjumpai koleksi keratan akhbar dan majalah mengenai saya yang dikumpul oleh ibu. Perasaan sedih belum habis, seminggu selepas itu pula dijuji dengan kehilangan ayah. Ujian demi ujian terus dilalui apabila buat kali ketiga dalam masa sebulan keluarganya kehilangan seorang lagi anak saudara yang baru menerima Ijazah Sarjana di sebuah universiti di luar negara.
Walaupun kehilangan kedua ibu bapa tercinta dan anak saudara, Dato’ Nash tidak betah dengan kesedihan yang melanda diri, beliau bangkit dengan matlamat hidupnya dan percaya dengan bakat kurniaan Ilahi.

Langit tidak selalu cerah, begitu juga nasib yang menimpa Lefthanded. Dato’ Nash melalui dugaan sukar dan mendesak dirinya menarik diri dari kumpulan Lefthanded. Perjalanan seninya tidak terhenti disitu apabila Warner Music sekali lagi melamarnya untuk merakamkan album rakaman secara solo. Hasil gabungan penerbit album Dato’ Nash yang pertama bersama Jay Jay lahir album “Pada Syurga Di Wajah Mu” dan terus berada di kemuncak carta selama 15 minggu berterusan. Keberhasilan membuktikan kepada beliau bahawa tidak ada hamparan permaidani merah dalam perjuangan dan paling bersejarah apabila dinobatkan sebagai juara di Anugerah Juara Lagu 1992 dan pada tahun 1993 penerima Anugerah Pujaan Nescafé. Dua lagi album beliau yang turut popular berjudul “Zahir Tak Terucap” dan “Nash 1993”.

Dato’ Nash meneruskan langkahnya di bidang lakonan sebagai pelakon dengan membintangi drama dan tiga buah filem. Tidak lama selepas itu, Dato’ Nash dilamar kembali menyertai kumpulan Lefthanded dan terhasil album “Syurga Dan Neraka” dibawah naungan Sony Music. Dato’ Nash sehingga ini kekal bersama Lefthanded.

Penghormatan Diri
Beliau tidak menyangka segala usaha dan kejayaan dikecapinya serta penglibatannya bersama masyarakat diiktiraf dan dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’.

Dato’ Nash dilantik sebagai Karyawan Seni USIM dalam bidang persembahan bermula pada tahun 2016 sehingga kini. Beliau telah menyumbang tenaga dalam beberapa penganjuran program anjuran Pusat Kebudayaan USIM seperti USIM Street Dakwah @ Kembara Patriotik, Konsert Munajat Untuk Rohingya, Malam Puisi GAZA, dan banyak lagi. “Saya melahirkan rasa terharu dan bersedia memikul tanggujawab sebagai Karyawan Seni USIM dan menganggap sebagai bentuk sumbangan berterusan dalam mendidik masyarakat untuk menghayati seni”.

“Setiap kerja yang kita lakukan hendaklah lahir dari keikhlasan sejati yang kita terjemahkan kepada mereka yang ada di depan kita. Jangan laksanakan amanah atau kerja hanya kerana nama atau merasakan diri kita hebat, kerana hakikatnya tiada yang lebih hebat melainkan Allah SWT,” kata beliau semasa mengakhiri Wacana Figura.


Wacana Figura yang dihoskan oleh Ikon Seni USIM berdurasi selama 1 jam 15 minit telah mendapat tontonan sejumlah 1.7k dan 46 perkongsian melalui aplikasi Facebook.