Disediakan oleh :
Nur Syahirah binti Mat Yusof
Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM

SINTOK, 9 NOVEMBER – Diskusi Bicara Seni dan Budaya membawakan tema ‘Seni dan Budaya vs Teknologi Dalam Norma Baharu’ berjaya menarik kehadiran peserta dalam kalangan penuntut universiti awam di seluruh negara.

Program anjuran Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) yang diterajui oleh Pusat Budaya dan Seni Universiti Utara Malaysia (UUM) itu buat julung-julung kalinya diadakan menerusi platform dalam talian selaras dengan pembudayaan norma baharu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM merangkap Pengerusi MAKUM, Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali dalam ucapan perasmian beliau berkata, aktiviti kebudayaan dan kesenian di seluruh institusi pengajian tinggi awam bukan sahaja sebagai platform meningkatkan kemahiran pelajar, bahkan sekali gus menyemarakkan nilai-nilai integrasi dalam kalangan pelajar.

“Meskipun negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, namun ia bukanlah suatu halangan dan cabaran bagi pihak universiti dan para pelajar untuk terus komited serta konsisten dalam memperkasakan kegiatan seni dan budaya.

“Ini memandangkan bantuan perkembangan teknologi yang semakin pesat merupakan perantara yang boleh mewujudkan hubungan yang lebih erat antara seni dan jiwa manusia,” kata beliau.

Diskusi itu turut menampilkan barisan panel jemputan antaranya Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ismail Ahmed yang membentangkan tajuk Memanfaatkan Seni dan Budaya Dalam Transformasi Digital Mengikut Norma Baharu.

Pengarah Urusan Joe Sidek Production, Joe Sidek juga terlibat dengan membentangkan diskusi bertajuk Pelaksanaan Pengurusan Acara Dalam Konteks Industri Untuk Menyumbang Keuntungan (ROI) Kepada Organisasi.

Ismail ketika sidang diskusi memberitahu, pembudayaan norma baharu secara tidak langsung telah mengubah cara berfikir, bekerja dan berkreativiti termasuklah dalam konteks seni budaya.

“Situasi ini membuatkan kita harus berfikir sejenak dalam melakukan suatu lonjakan paradigma yang lebih kreatif dengan mencuba kaedah atau medium baharu dalam pelaksanaan program seni dan budaya berkonsepkan norma baharu,” jelas beliau.

Bagi Joe pula, nilai kecekapan amat penting dalam mengurus dan mengendalikan sesuatu program agar tercapai objektif selaras dengan matlamat penubuhan organisasi tersebut.

“Kemajuan teknologi hari ini membolehkan komunikasi dua hala dilaksanakan dengan lebih pantas dan efisien serta lebih mudah mencorakkan landskap kerjaya dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, penyajian, persembahan, perkhidmatan profesional dan sebagainya,” ujar beliau.

Seramai 230 peserta yang terdiri dalam kalangan pensyarah, pegawai pusat kebudayaan universiti awam dan pelajar telah melibatkan diri secara langsung dalam program diskusi tersebut yang dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi “Webex”.