PERAK, 11 Februari 2020 – ‘Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga’, memetik peribahasa Melayu melalui dialog lakonan seniman Hussien Abu Hassan menerusi filem Laksamana Doremi membawa maksud yang jika mempunyai ilmu yang sedikit, jangan sesekali cuba hendak bertanding atau berlawan dengan orang yang banyak ilmu dan pengalaman. Ungkapan ini amat bertepatan sekali dikaitkan dengan keris yang mempunyai nilai estetikanya tersendiri. Ketinggian nilai budaya dan falsafah sebilah keris juga dilihatkan sinonim dengan keperkasaan pahlawan atau pendekar Melayu yang dibawa bersama adab dan adat yang terkandung di dalamnya.

Dalam usaha merapati tokoh seni tanah air, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan (JKKN) Negeri Sembilan telah mengadakan kunjungan ke bengkel pembuatan keris Pak Mazin bertempat di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak bagi menyaksikan sendiri pembuatan keris yang dikatakan menjadi tumpuan masyarakat dalam dan luar negar.

Pak Mazin sedang membuat demonstrasi cara menghasilkan keris

Abdul Mazin Abdul Jamil, 70, atau lebih dikenali dengan panggilan “Pak Mazin” sebuah nama yang tidak asing lagi dan cukup terkenal dalam pembuatan keris diraja bagi Kesultanan Perak. Pak Mazin juga turut menerima tempahan keris daripada kalangan raja-raja, pembesar negara dan orang kenamaan, termasuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Anak kelahiran Kuala Kangsar ini, mula berkecimpung dalam bidang pembuatan keris seawal usia 10 tahun lagi. Minat beliau dalam seni pembuatan keris sewaktu beliau melihat datuknya membuat keris. Selain daripada itu, Pak Mazin juga merupakan generasi keempat pembuat keris berketurunan Bugis (dari Kepulauan Sulawesi). Penghasilan keris bermula sejak zaman moyang Pak Mazin yang digelar Tukang Mamat, yang juga seorang tukang diraja. Kemahiran itu diperturunkan kepada datuknya (Pandak Lam), kemudian bapanya, Abdul Jamil, dan kini Pak Mazin mewarisi kemahiran tersebut.

Sesi soal jawab bersama Pak Mazin dan En Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudaaan USIM

Menurut Pak Mazin, “Keris dihasilkan dengan menyatukan besi tawar, besi baja dan besi melela. Proses menyatukan besi tidak boleh dibuat sembarangan. Pembuat keris haruslah mengenal sifat besi tersebut. Hal ini penting supaya besi yang dibakar, ditempa dan dibentuk tidak patah. Kualiti keris yang dihasilkan bergantung pada campuran besi dan lipatannya. Tujuh jenis besi dibakar, kemudian dilipat beberapa kali sehingga besi bercantum menjadi satu, lalu ditempa untuk menghasilkan keris yang berkualiti tinggi.”

“Setelah keris siap dibentuk, proses seterusnya adalah memupuk, iaitu meletakkan bancuhan belerang bersama-sama garam halus dan cuka pada keris. Keris yang dipupuk dibiarkan selama seminggu. Selepas itu, jalur dan alur besi akan kelihatan pada keris. Jalur yang terhasil daripada proses pemupukan tersebut menentukan jenis keris, sama ada jenis isi petai, beras tumpah atau jenis lain. Dalam tempoh pemupukan, Pak Mazin menyiapkan pula hulu, sarung dan sampir (bahagian atas sarung) keris. Hulu, sarung dan sampir ini dibuat daripada kayu kemuning, kayu petai dan kayu jenis lain yang berkualiti”

Tambah beliau, “Keris hanya dihasilkan setelah menerima tempahan daripada pelanggan, dan tidak menghasilkan keris-keris untuk tujuan komersial dan pasaran ke kedai-kedai barang antik. Keris-keris yang dihasilkan pula diperbuat daripada bahan besi 7 ‘pa’ iaitu paku, pisau, pahat, puting, pencebak, payung dan pagar”.

Delegasi Pusat Kebudayaan dan JKKN Negeri Sembilan juga tidak melepaskan peluang menyaksikan secara langsung Pak Mazin melakukan demonstrasi pembuatan keris. Keris yang dihasilkan boleh Pak Mazin tampk kemas dan unik. Ujar Pak Mazin, proses pembuatan keris ini memerlukan kesabaran tinggi kerana proses pembuatan memerlukan perhatian dan ketelitian yang khusus.

Pak Mazin sedang menjelaskan mengenai asal usul keris serta jenis-jenis keris yang dihasilkan beliau

“Setiap bangsa itu mempunyai senjata warisan yang tersendiri.  Keris merupakan satu-satunya warisan bangsa Melayu. Dari zaman dahulu lagi keris diumpamakan sebagai kegagahan dan perkasanya orang Melayu kita. Sehinggakan, apabila memakai baju Melayu tidak lengkap sekiranya tanpa keris”, ujar Pak Mazin ketika diajukan soalan mengenai hubung kait keris dan jati diri orang Melayu.

Sehingga kini Pak Mazin giat membantu pelajar dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, serta pelancong dari luar negara dalam menjalankan kajian, menyiapkan projek sejarah dan mendapatkan maklumat tentang senjata tradisional Melayu.

Pesan arwah ayahnya, “warisan keris ini kian di telan zaman, sekiranya tiada sesiapa yang cakna akan kepentingan kesenian ini sudah pasti warisan ini boleh terhapus begitu sahaja.” Demikian kata-kata semangat yang menjadi pemangkin sumber insprasi Pak Mazin agar terus bergiat aktif dalam dunia pembuatan keris sehinggalah sekarang. Kunjungan pada petang itu diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderahati oleh Ismail Ahmed,  Pengarah Pusat Kebudayaan yang mewakili USIM manakala JKKN Negeri Sembilan diwakili oleh Penolong Pengarah Farah Damayanty Ahmad.