Nilai, 25 Mac – Kumpulan muzik moden dari Urus Setia Kesenian Pelajar USIM , The Bachelors Band mempersembahkan lagu Soaring Upwards pada sesi pembukaan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2017 Zon Tengah di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia.

Turut menyerikan majlis penutupan tersebut ialah persembahan lagu Assalamualaikum nyanyian asal Faizal Tahir yang disampaikan dalam bahasa isyarat oleh kumpulan Saf Al-Isharah, Kelab Sahabat Faqeh USIM.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad berkata dalam ucapannya, “Uniknya  KPTN Zon Tengah di USIM  pada  kali ini adalah kita meraikan golongan istimewa seperti yang  kita telah lihat sebentar tadi iaitu persembahan tanpa suara serta perkongsian daripada saudara Muhammad Hadi Darus, pelajar tahun dua Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang.

“USIM sememangnya tekad dalam melahirkan mahasiswa yang mampu memimpin dan mendidik golongan istimewa ini melalui program-program yang USIM tawarkan seperti Kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah yang mana kursus ini adalah kursus Wajib Fakulti bagi pelajar Fakulti Pengajian Quran & Sunnah,” tambahnya lagi.

Majlis perasmian penutupan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Dr. Mary Yap KainChing.

Pada akhir majlis, The Bachelors sekali lagi menampilkan auranya dengan mempersembahkan lagu tradisi identiti Negeri Sembilan, iaitu Ayam Den Lapeh.

 

Laporan oleh EB Nur Adnin Abdul Razak