Disediakan oleh:
EB Hanis Aqilah Jeswandy
Pusat Kebudayaan USIM

NILAI, 19 Februari – ‘Belajar apa yang kita tidak tahu, manfaatkan apa yang kita tahu’ itulah prinsip yang dipegang oleh Ikon Seni USIM Shukri Sahari untuk serius dalam kerjayanya sebagai komposer lagu dan penulis lirik.

Perkongsian beliau ini diadakan secara maya menerusi program Bicara Ikon Seni yang diadakan di Panggung Budaya USIM, Pusat Kebudayaan USIM. Program Bicara Ikon Seni memfokuskan perjalanan alumni USIM khususnya yang melibatkan diri dalam bidang seni dan menjadikannya sebagai kerjaya mereka.

Shukri Sahari 32, anak kelahiran Tampin, Negeri Sembilan memulakan pendidikan rendahnya di Sekolah Kebangsaan Kampung Batu, Kuala Lumpur. Kemudian Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail, Negeri Sembilan dan seterusnya meneruskan pengajiannya di peringkat Ijazah di Universiti Sains Islam Malaysia.

“Pada asalnya saya berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang muzik, namun keluarga mengesyorkan saya menyambung pengajian di USIM dan mengambil jurusan perakaunan”.

Shukri juga menyatakan bahawa semasa menuntut di USIM, beliau aktif bermain bermain alat muzik darbuka dan menyertai kumpulan nasyid di bawah Kelab Seni Budaya Pusat Kebudayaan USIM (PKB USIM).

Shukri tidak mahu melihat dirinya sama seperti rakan-rakanya. Dia berusaha untuk dilihat berbeza dan perlu menyakinkan orang bahawa dia mula serius mencari keunikan dirinya. Beliau mencuba nasib dengan beralih bermain seruling dan azamnya mesti tampil hebat dengan imej baharunya. Shukri amat bertuah diberi peluang untuk menimba ilmu bermain seruling daripada tenaga pengajar yang berwibawa.

Tidak setakat itu, Shukri semakin ligat mengasah kebolehannya. Beliau mencabar keupayaan kreatifnya dalam penulisan lirik. Ternyata hasil usahanya memberi kejayaan besar apabila kumpulan nasyid Intracksee memenangi pertandingan peringkat IPT ASEAN tiga tahun berturut-turut. Perkara yang paling mengujakan beliau apabila lirik dan lagu adalah hasil ideanya sendiri.

Menyingkap pengalaman kerjaya, beliau berpengalaman bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai juruaudit. Namun, dua tahun selepas itu, beliau nekad dengan azamnya untuk tidak lagi bekerja makan gaji. Shukri tidak gusar dalam perjalanan seninya. Beliau yakin dengan pilihannya untuk terus mencari ilmu dan berkarya sebagai penulis lirik dan komposer lagu sepenuh masa.

Dalam perkongsian tersebut, Shukri turut berkongsi kejayaannya yang dimenanginya ini di Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) 2020 dengan lagu Carilah Aku Di Neraka yang dinyanyikan oleh Fadzli Far East dan Maliq Suhaimi. Lagu nasyid ini pernah memasuki carta nasyid di radio Iklim FM dan beliau pernah berkerjasama dengan kumpulan nasyid Inteam dalam pembikinan lagu-lagu berunsur religi.

Diakhir bual bicara, beliau menyatakan bahawa usaha yang bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada Allah SAW amat penting dalam melakukan setiap perkara. Beliau juga menitipkan pesan agar setiap pekerjaan yang dilakukan mestilah penuh minat dan ikhlas supaya sebagai dorongan untuk kita melaksanakan dengan cara paling terbaik.

Bicara Ikon Seni akan terus bersiaran secara maya melalui facebook rasmi PKB USIM sebagai usaha memberi insipirasi dan manfaat kepada masyarakat.