Oleh: EB Siti Maryam Binti Jamaluddin, Kelab Penerbitan Kreatif Pusat Kebudayaan USIM

NILAI, 11 Dis 2019 – Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa USIM 2018/2019 atau lebih dikenali sebagai AKSIS 18/19 telah diadakan pada di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Ia merupakan puncak pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian pelajar dalam pelbagai program yang telah mengharumkan nama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan simbolik penghargaan USIM kepada pelajar yang berupaya memperkasakan diri dengan elemen kemahiran insaniah.

“Mahasiswa perlu mengisi masa lapang di universiti dengan baik agar masa yang berlalu di isi dengan perkara-perkara yang berfaedah.” Kata Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Lembaga Pengarah Universiti USIM ketika merasmikan majlis tersebut.

Pusat Kebudayaan USIM telah menghantar penyertaan bagi kategori Anugerah Pemimpin Program Wacana Intelek, Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan, Anugerah Pemimpin Badan Pelajar, Anugerah Kesukarelawan-pasukan dan Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Terbuka).

 

Saudara Muhammad Hafizh Abd Kadir Pengerusi Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni berjaya mendapat anugerah Pemimpin Badan Pelajar. Siti Wahyuna Syed Mohd Razali daripada Kelab Penerbitan Kreatif berjaya merangkul Anugerah Pemimpin Program Wacana Intelek, manakala Nur ‘Izzatul Munirah Salleh daripada Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni meraih Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor USIM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM Ismail Ahmed, ketua-ketua Jabatan dan staf USIM serta mahasiswa terdiri daripada semua kelab yang berdaftar di USIM. Majlis tersebut diserikan dengan persembahan daripada kumpulan Caklempong Tingkah Irama dan Perkusirama, Pusat Kebudayaan USIM.

AKSIS merupakan program tahunan anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar sebagai metod tapisan awal bagi pencalonan Anugerah Tokoh Siswa anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.